Henti polemik isu lambakan rumah mewah: Raja Kamarul Bahrin

Raja Kamarul Bahrin Shah
A
A

KUALA TERENGGANU - Semua pihak diharap tidak lagi mempolemikkan isu lambakan rumah mewah yang masih tidak terjual di negara ini kerana ia akan dipromosikan kepada pihak luar mengikut prosedur dan syarat di bawah Program Malaysia Rumah Keduaku (MM2H).

Timbalan Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan, Datuk Raja Kamarul Bahrin Shah Raja Ahmad Baharuddin Shah berkata, MM2H bukanlah satu program yang baharu diperkenalkan kerana ia telah pun wujud sejak tahun 2002.

"Ini hanyalah kekeliruan...lambakan rumah mewah ini bukanlah melalui kempen Pemilikan Rumah (HOC) sebaliknya melalui MM2H...rakyat tidak perlu berasa bimbang mengenainya kerana MM2H sama sekali tidak akan menjejaskan pemilikan rumah untuk mereka.

"KPKT masih dengan fokus utama untuk penyediaan rumah kepada rakyat Malaysia agar ia mampu milik...itu komitmen kita," katanya kepada pemberita selepas merasmikan program Merdeka @ Komuniti bersama masyarakat Tionghua Terengganu di Kampung Cina di sini malam tadi.

Hampir 400 masyarakat Tionghua Terengganu hadir ke majlis anjuran Jabatan Penerangan itu bagi menyemarakkan lagi sambutan bulan kebangsaan.

Pada Khamis, Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan, Zuraida Kamaruddin dalam satu kenyataan menjelaskan jualan rumah mewah berharga lebih RM1 juta itu akan dilaksanakan melalui kempen MM2H dan bukannya melalui HOC.

Beliau juga menjelaskan program MM2H adalah terbuka kepada semua warganegara asing manakala China serta Hong Kong dijadikan sebagai contoh memandangkan harga purata hartanah di situ adalah tinggi.

Berikutan penjelasan itu, Raja Bahrin berharap rakyat tidak akan mudah terpengaruh dengan dakyah pembangkang yang hanya mahu mengambil kesempatan di atas kekeliruan itu. - Bernama