X

Kindly register in order to view this article
!

Hantar laporan polis, taktik baharu Macau Scam

Aidi Sham (tengah) menunjukkan laporan polis palsu yang digunakan sindiket Macau Scam memperdaya seorang warga emas di Port Dickson hari ini.
A
A

PORT DICKSON - Menghantar salinan laporan polis palsu kepada mangsa dikesan menjadi modus operandi baharu ahli sindiket Macau Scam.

Ketua Polis Daerah Port Dickson, Superintenden Aidi Sham Mohamed berkata, taktik baharu itu bertujuan menakutkan mangsa yang kononnya terlibat dengan kes tertentu sekali gus meyakinkan mangsa bahawa kes dinyatakan sememangnya wujud.

Menurutnya, modus operandi itu dikesan digunakan oleh sindiket berkenaan terhadap seorang lelaki warga emas berusia 79 tahun yang mengakibatkan mangsa alami kerugian RM15,300 hari ini.

"Mangsa dihubungi oleh individu yang mendakwa sebagai pegawai bank dan pegawai polis dengan menyatakan namanya telah disalahgunakan untuk penggunaan kad kredit bernilai RM7,000," katanya pada sidang akhbar di Ibu Pejabat Polis Daerah Port Dickson di sini hari ini.

Katanya, mangsa memberitahu tiada kad kredit seperti didakwa sebelum suspek menghantar salinan laporan polis berkenaan kes itu menerusi WhatsApp kepada mangsa.

"Mangsa yang bimbang kemudian memberi maklumat perbankan kepada suspek dengan harapan kes itu dapat diselesaikan.

"Mangsa menyedari tertipu apabila mendapati wang RM15,300 dalam akaun bank miliknya hilang lalu membuat laporan polis," katanya.

Aidi Sham berkata, laporan polis itu dihantar kepada mangsa untuk menunjukkan seolah-olah kes dikaitkan itu benar-benar berlaku.

"Ini modus operandi terbaru yang kita kesan digunakan oleh sindiket Macau Scam bertujuan menakutkan mangsa sedangkan laporan polis itu adalah palsu dan ia disunting," katanya.

Menurutnya, orang ramai dinasihatkan supaya tidak terburu-buru mendedahkan dan memberikan makluman perbankan kepada individu tidak dikenali dengan membuat semakan dengan pihak berkuasa terlebih dahulu.

"Saya juga mahu tegaskan tiada salinan laporan polis yang akan dihantar melalui aplikasi WhatsApp kepada individu kerana ia merupakan dokumen sulit," katanya.


Dapatkan informasi dan statistik terkini penularan wabak Covid-19 di Malaysia di sini: https://info.sinarharian.com.my/koronavirus