Rugi RM13,400 selepas digertak 'pegawai polis'

No Image Caption
A
A
A

KUANTAN - Seorang pengurus agensi kerajaan mendakwa kerugian RM13,400 selepas digertak seorang 'pegawai polis' kononnya akan ditangkap kerana terlibat dalam kegiatan pengubahan wang haram.

Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Komersial Pahang, Superintendan Mohd Wazir Mohd Yusof berkata, mangsa yang berusia 38 tahun mendakwa 'pegawai' yang memperkenalkan diri sebagai Inspektor Herman telah menghubunginya pada tengah hari semalam.

"Inspektor itu mendakwa semakan polis terhadap nombor MyKad mangsa mendapati mangsa terlibat dalam jenayah itu dan akan ditangkap kerana mahkamah sudah mengeluarkan waran tangkap.

"Mangsa yang digertak berkali-kali akhirnya akur dengan arahan suspek supaya memasukkan wang ke dalam akaun yang akan diberikan sebagai jaminan tidak akan ditangkap," katanya kepada pemberita di sini hari ini.

Mohd Wazir berkata, mangsa memasukkan wang itu pada 4.15 petang semalam, namun mula berasa tidak berpuas hati dengan tindakan suspek menggertaknya menyebabkan dia membuat laporan polis.

Laporan itu dibuat di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Temerloh dekat sini semalam dan siasatan dijalankan mengikut Seksyen 420 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara sehingga 10 tahun dan sebat dan boleh didenda, jika sabit kesalahan. - Bernama

Artikel Berkaitan: