Nurainn ajar Mandarin kepada pelajar agama

Nurainn
Nurainn
A
A
A

SHAH ALAM - Sebagai seorang guru, memang sudah menjadi tanggungjawabnya untuk mencurahkan ilmu pengetahuan kepada pelajar. Namun apa dilakukan Nurainn Azhar, sebenarnya lebih daripada itu.

Sebelum menjadi seorang pendidik, Nurainn, 35, yang mula menduduki bangku sekolah di sekolah rendah Cina di Setapak, Kuala Lumpur dan melanjutkan pelajaran di sekolah menengah persendirian Cina telah membolehkannya untuk menguasai Mandarin dan tulisan Cina dengan baik.

Kelebihannya itulah ingin diberikan kepada pelajar-pelajar Melayu yang berminat belajar bahasa asing itu. Selepas habis mengajar di sekolah, masa terluang pada hujung minggu digunakannya untuk mengajar pelajar-pelajar agama mengikuti kelas Mandarin.

Tanpa mengenakan sebarang bayaran, Nurainn berharap pelajar-pelajar agama ini mempunyai kelebihan apabila memasuki ke alam pekerjaan suatu hari nanti.

“Mereka ketika ini menuntut pelajaran agama. Saya rasa mereka juga harus mempelajari satu lagi satu bahasa kerana ia mungkin berguna selepas mereka meninggalkan alam persekolahan untuk mencari kerja,” kata Nurainn yang pernah menjadi wartawan dan penterjemah.

Kata Nurainn, semasa belajar di sekolah rendah, dia tidak nampak apa pentingnya belajar bahasa Mandarin.

“Namun ibu bapa saya merasakan bahasa Mandarin tetap berguna. Waktu dulu, tidak ramai ibu bapa yang ingin menghantar anak-anak mereka belajar di sekolah Cina. Nenek saya pun bimbang kerana bimbang makan makanan yang tidak halal di sekolah,” kata Nurainn yang bersyukur mempunyai ibu bapa yang faham akan kepentingan belajar bahasa Mandarin.

Sepanjang enam tahun belajar di sekolah rendah Cina, Nurainn tidak pernah membeli makanan di kantin sebaliknya mengambil makanan yang disediakan ibunya.

Artikel Berkaitan:

Nurainn mula mengajar pelajar-pelajar agama di Kampung Kubu Gajah, Sungai Buloh itu pada Jun lalu dengan kekerapan seminggu sekali, iaitu setiap pagi Ahad.

Buat masa ini, seramai 20 pelajar menerima tunjuk ajar daripada Nurainn yang kesemuanya tidak tahu langsung bertutur Mandarin dan menulis tulisan Cina.

“Ia adalah satu cabaran besar bagi saya. Tetapi apa yang membanggakan saya ialah ramai pelajar di sekolah agama ini cukup gembira apabila mendapat tahu berpeluang mengikuti kelas Mandarin ini,” kata Nurainn.

Untuk memulakan pelajaran, Nurainn berkata, dia akan mula mengajar pelajar mengenai nama am dan jika mengajar angka pula, dia akan memastikan semua pelajarnya tahu cakap daripada nombor 1 hingga 10.

Selepas belajar beberapa bulan, Ain mendapati pelajar-pelajarnya kini sudah boleh bertutur Mandarin ketika memperkenalkan diri mereka kepada orang lain.

“Saya rasa bangga dapat bersama pelajar-pelajar Melayu berusaha untuk menguasai bahasa Mandarin. Sekolah agama di sini menerima saya dengan baik malahan amat menggalakkan saya untuk mengajar bahasa Mandarin kepada pelajar di sini,” kata Nurainn.