Wakil pelajar minta nilai semula gabung UMT, UniSZA

A
A

KUALA TERENGGANU - Kerajaan diminta menilai semula usaha menggabungkan Universiti Malaysia Terengganu (UMT) dan Universiti Sultan Zainal Abidin (UniSZA).

Exco Kelab Persatuan dan Sekretariat Majlis Perwakilan Pelajar UniSZA, Syed Mohamad Shafiq Syed Mohd Suhaimi berkata, beliau menolak penggabungan yang dilihat dibuat secara terburu-buru itu berikutan teras dua universiti berkenaan yang jauh berbeza.

"UMT terkenal dengan kepakaran dan cita-cita mereka di alam marin manakala UniSZA melebihkan nilai Islam serta sains.

"Visi dan misi dua universiti ini adalah berbeza, mana mungkin dua nakhoda yang berbeza ingin disatukan. Sentimen Kolej Ugama Sultan Zainal Abidin (KUSZA) perlu dihormati," katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Syed Mohamad Syafiq berkata, memang benar langkah penjimatan yang ingin dicapai kerajaan akan terlaksana dengan penggabungan itu, namun bagaimana nasib kakitangan dua universiti berkenaan yang mungkin akan dikurangkan.

Sehubungan itu, beliau kesal dengan sikap kerajaan yang tidak berbincang terlebih dahulu dengan institusi awam berkenaan sebelum memutuskan untuk penggabungan.

"Putrajaya tidak boleh membuat keputusan bagi pihak pelajar dan universiti kami, di mana 'student empowerment' yang dilaung-laungkan oleh kerajaan sebelum ini?

"Tindakan ini adalah berbentuk tikam belakang kepada perjuangan UniSZA dan UMT yang mempunyai destinasinya yang tersendiri," katanya.

Terdahulu, jemaah menteri yang bermesyuarat pada 4 September lalu telah bersetuju secara prinsip berhubung penggabungan Universiti Malaysia Terengganu (UMT) dan Universiti Sultan Zainal Abidin (UniSZA).

Pejabat Ketua Pengarah Pendidikan Tinggi, Jabatan Pendidikan Tinggi Kementerian Pendidikan berkata, penggabungan itu merupakan salah satu transformasi penyampaian pendidikan tinggi dan ia perkara penting bagi memantapkan lagi keupayaan universiti dalam meningkatkan kedudukan sosio ekonomi selaras dengan lonjakan 10 Pelan Pembangunan Pendidikan Malaysia 2015-2025.

ARTIKEL BERKAITAN: Kabinet setuju UMT, UniSZA bergabung