Belanjawan 2020: MOA yakin terima lebih peruntukan

Salahuddin
A
A

PUTRAJAYA - Kementerian Pertanian dan Industri Asas Tani (MOA) yakin akan memperoleh peruntukan yang lebih baik dalam pembentangan Belanjawan 2020 pada 11 Oktober depan.

Menterinya, Datuk Salahuddin Ayub berkata, keyakinan itu berasaskan hala tuju jelas kementeriannya dalam memantapkan lagi sektor pertanian dan perikanan di negara ini.

"Saya yakin dan percaya kita akan dapat bajet (Belanjawan 2020) yang lebih kerana kita banyak program hala tuju untuk rakyat dalam usaha untuk memodenkan semua sektor pertanian. Segala perancangan yang kita laksanakan ini adalah bagi menarik rakyat untuk menceburi sektor pertanian.

"Bagaimanapun tidak dinafikan usaha yang ingin kita laksanakan ini memerlukan kos yang tinggi. Jadi sebab itu kita harapkan bajet yang lebih banyak daripada kerajaan nanti," katanya pada sidang media selepas melancarkan Dokumen Pengembangan Perikanan (DPP) di Wisma Tani di sini hari ini.

Menurut Salahuddin, beliau yakin Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad telah menilai segala kerja yang dilakukan kementeriannya dalam meningkatkan lagi sektor pertanian negara.

"Melihat segala kerja keras yang dilakukan kami ini, saya yakin Kementerian kewangan tidak akan teragak-agak (untuk tambah bajet). Saya harap kita dapat berita gembira itu," katanya.


Bermula dengan hanya RM5 anda telah menyokong Berita Fakta dan Komprehensif kami, sokong berita kami.
Terima Kasih Rakyat Malaysia