Ibu tunggal antara lima individu peroleh Anugerah My Hero 3.0

Dr Siti Hasmah (tengah) bersama Md Farid (berdiri, empat dari kiri) dan Leong Yap (berdiri, empat dari kanan) bergambar bersama penerima anugerah pada majlis Anugerah MyHero 3.0 yang diadakan di Wisma Chinese Chamber. - Foto Sinar Harian Rosli Talib
A
A

KUALA LUMPUR - Seorang sukarelawan yang juga ibu tunggal tidak menyangka merupakan antara lima pemenang terbaik bagi Anugerah My Hero Award 3.0.

Jameyah Sheriff, 59, ketika ditemui memberitahu sangat bersyukur dengan anugerah diterima serta tidak menyangka kisahnya membantu seorang sahabat yang menghidap cerebral palsy, Tan Chin Chin, 37, ketika sama-sama belajar di Universiti Sains Malaysia (USM) pada 2003 mendapat pengiktirafan.

"Sudah tentu saya gembira dengan anugerah ini tapi yang paling penting saya bantu Chin Chin ketika itu kerana menganggapnya sebagai tanggungjawab untuk saya meringankan beban dia.

"Chin Chin ibarat anak sulung saya dan ketika itu dia baru berusia 20 tahun dan saya pula berusia 42 tahun. Jadi dia amat memerlukan sokongan serta bantuan harian untuk bergerak ke kelas, perpustakaan atau ke mana-mana sahaja," katanya ketika ditemui selepas Majlis Penyerahan Anugerah My Hero 3.0 di Wisma Chinese Chamber di sini hari ini.

Malah katanya, beliau sendiri terinspirasi dengan kegigihan Chin Chin yang langsung tidak menjadikan kekurangannya sebagai penghalang dan punya usaha yang sangat hebat untuk belajar sehingga ke universiti.

"Dia sangat cemerlang dalam pelajaran dan sering menjadi pelajar terbaik....kini sudah hampir 10 tahun Chin Chin menjadi pegawai penyelidik di universiti itu.

"Jadi apalah sangat hendak dibandingkan bantuan kecil saya menjemput dan menghantar dia ke kelas, membelikan makanan, pergi ke perpustakaan bersama serta membuat aktiviti lain bersama selama tiga tahun....kejayaan dia hari ini lebih bermakna dan sangat membanggakan saya, apatah lagi ibunya, " katanya yang menyifatkan Chin Chin sebagai teman baiknya.

Md Herman menerima anugerah pada majlis Anugerah MyHero 3.0 yang diadakan di Wisma Chinese Chamber di sini hari ini. - Foto Sinar Harian Rosli Talib
Md Herman menerima anugerah pada majlis Anugerah MyHero 3.0 yang diadakan di Wisma Chinese Chamber di sini hari ini. - Foto Sinar Harian Rosli Talib

Chin Chin yang juga mempunyai masalah pertuturan turut hadir bersama meraikan Jameyah dan berterima kasih dengan keprihatinan wanita itu yang sering membantunya ketika sama-sama belajar di universiti.

Selain Jameyah, empat lagi yang memperoleh anugerah My Hero 3.0 adalah Md Herman Saidin, Richard Wong Yew King, Cheah Kim Hock serta V Rajendran dan Dr Norzah Abd Ghani yang turut diiktiraf kerana sumbangan mereka dalam menyemarakkan perpaduan.

Turut hadir pada majlis itu, isteri Perdana Menteri, Tun Dr Siti Hasmah Mohamad Ali, Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Perpaduan Negara dan kesejahteraan Sosial), Datuk Dr Md Farid Md Rafik dan Presiden Dewan Perniagaan&Perindustrian Cina Kuala Lumpur&Selangor (KLSCCCI), Tan Sri Ter Leong Yap.

Sementara itu, Md Herman yang ditemui turut terharu dengan anugerah yang diterima dan tidak menyangka perjuangannya selama 28 tahun membuat kerja amal serta membantu anak-anak orang kurang upaya (OKU) dilihat sehingga memperoleh penghormatan sebegitu.

"Saya lakukan demi anak-anak OKU di Labuan iaitu kampung saya. Saya sendiri OKU pendengaran dan saya tekad mahu bantu anak-anak OKU pekak di Labuan dengan mengajar mereka bahasa isyarat yang 'standard' supaya lebih mudah untuk mereka berkomunikasi dan mencari kerja"katanya yang juga sukarelawan.

Anak kedua daripada tujuh beradik itu berkata, sehingga kini beliau berjaya membimbing 20 OKU untuk belajar bahasa isyarat dan lebih daripada 20 orang juga sudah mempunyai kerjaya masing-masing.

"Kesemuanya dibantu melalui Persatuan Bagi Orang Istimewa Labuan dan Persatuan Orang Pekak Labuan, " katanya.


Bermula dengan hanya RM5 anda telah menyokong Berita Fakta dan Komprehensif kami, sokong berita kami.
Terima Kasih Rakyat Malaysia