Isu Zakir Naik: Ramasamy beri keterangan hampir lima jam

Ramasamy (kanan) dan Satees (dua dari kanan) dilihat keluar dari pejabat selepas diambil keterangan oleh dua pegawai polis tadi.
Ramasamy (kanan) dan Satees (dua dari kanan) dilihat keluar dari pejabat selepas diambil keterangan oleh dua pegawai polis tadi.
A
A
A

GEORGETOWN - Timbalan Ketua Menteri II Pulau Pinang, Dr P Ramasamy memberi keterangan kira-kira lima jam kepada dua pegawai polis dari Bukit Aman susulan laporan polis yang dibuat oleh pendakwah bebas, Dr Zakir Naik sebelum ini.

Kedua-dua pegawai dari Unit Siasatan Jenayah Terpilih (D5) itu dilihat masuk ke dalam pejabat Ramasamy yang terletak di Tingkat 52, Komtar kira-kira jam 9.30 pagi tadi.

Difahamkan proses memberi keterangan berkenaan bermula jam 9.40 pagi dan berakhir kira-kira jam 1.15 petang.

Selain Ramasamy, turut diambil keterangan ialah Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Bagan Dalam, Satees Muniandy.

Bagaimanapun, Satees dilihat keluar lebih awal daripada Ramasamy.

Ramasamy ketika ditemui media berkata, dia akan sentiasa memberi kerjasama yang baik kepada polis dalam membantu siasatan kes ini.

Menurutnya, sekiranya beliau akan dipanggil ke Bukit Aman selepas ini dia akan mematuhi semua arahan dan tidak akan lari.

"Saya telah serahkan kepada peguam saya supaya segala urusan dan akan jawab balik kepada peguam Zakir Naik.

Artikel Berkaitan:

"Saya sentiasa akan beri kerjasama kepada polis. Kalau dipanggil ke Bukit Aman saya akan pergi, saya tak akan lari," katanya ketika ditemui di sini tadi.

Sebelum ini, Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Bukit Aman, Datuk Huzir Mohamed mengesahkan pihaknya akan mengambil keterangan lima individu kerana membuat kenyataan yang menyebabkan keresahan dan kemarahan orang ramai terhadap Zakir.

Selain Ramasamy dan Satees, tiga yang lain ialah Menteri Sumber Manusia, M Kulasegaran; Ahli Parlimen Klang, Charles Santiago dan bekas duta Malaysia, Datuk Dennis Ignatius.

Siasatan itu dibuat ekoran terdapat laporan berkaitan isu Zakir yang didakwa meminta supaya kaum Cina keluar dari Malaysia dan mendakwa kaum India di Malaysia tidak menyokong Perdana Menteri.

Satu lagi laporan dibuat Zakir sendiri terhadap Ramasamy berhubung wawancara bersama majalah India Today serta artikel berbahasa Inggeris di sebuah portal bertajuk 'Naik should not question loyalty of Hindus in Malaysia'.

Satees pula disiasat susulan artikelnya yang bertajuk ‘Lawmaker Fumes After Zakir Suggests Hindus Here Support Modi Over Dr M’ yang disiarkan sebuah portal berita.