Salah tamak perkara biasa

Salah muncul penjaring terbanyak EPL bagi dua musim berturut-turut sebelum ini.
A
A

Legenda Liverpool, Robbie Fowler menilai sikap tamak bintang The Reds, Mohamed Salah di tengah padang bukanlah sesuatu yang buruk dan perlu dikritik.

Sebaliknya, Fowler berkata, sifat tamak Salah itu adalah perkara biasa buat seorang pemain di jentera serangan dan percaya ia tidak akan mengganggu rentak pasukan.

Malah, penyerang berbisa Liverpool era 1990-an itu mahu Salah terus mengekalkan sikap tamak yang diyakini mampu memastikan The Reds terus menjadi pencabar dalam saingan Liga Perdana Inggeris (EPL).

“Saya tidak nampak apa yang dilakukan Salah itu memberikan kesan besar kepada pasukan. Memang dia tamak tetapi dia mampu menjaringkan gol, jadi apa salahnya?

“Sikap tamak pada seorang pemain penyerang adalah perkara biasa. Apa sebenarnya yang penyokong mahukan daripada Salah? Adakah mahu dia sebagai seorang penjaring gol atau pemain yang sering membuat bantuan gol? Salah tidak boleh menjadi kedua-duanya serentak,” katanya.

Salah dikritik hebat selepas tidak membuat hantaran kepada rakan sepasukannya, Sadio Mane pada aksi menentang Burnley awal bulan ini yang mana Mane dilihat mempunyai kedudukan lebih baik untuk menjaringkan gol.

Sebaliknya, Salah melakukan percubaan dan gagal menjaringkan gol, sekali gus menimbulkan kemarahan Mane sehingga para pemerhati dan pengkritik menilai kapten Mesir itu lebih mengutamakan kepentingan peribadi berbanding pasukan.

“Bagi saya, apa yang dikatakan oleh pengkritik itu hanya cakap kosong. Mereka tidak tahu perasaan menjadi seorang penyerang. Anda tidak boleh menjadi seorang penyerang yang menjaringkan gol tanpa adanya keyakinan diri dan sikap tamak.

“Salah perlu terus bermain dengan caranya sekarang. Saya yakin dia akan terus menjaringkan gol selepas ini dan membantu pasukan,” katanya yang menjaringkan lebih 150 gol ketika bermain bersama Liverpool.


Bermula dengan hanya RM5 anda telah menyokong Berita Fakta dan Komprehensif kami, sokong berita kami.
Terima Kasih Rakyat Malaysia