Bukan mudah sarung beret komando

Pemergian Allahyarham Mejar Mohd Zahir Armaya satu kehilangan besar buat negara.
Pemergian Allahyarham Mejar Mohd Zahir Armaya satu kehilangan besar buat negara.
A
A
A

‘DATANGMU tidak diundang, jika ragu harap pulang.’ Itulah ayat yang tertera di pintu masuk pusat latihan Grup Gerak Khas di Kem Sungai Udang, Melaka bagi mana-mana anggota tentera yang berhajat untuk menyarung beret hijau.

Latihan lasak yang luar biasa perlu dilalui oleh setiap pelatih selama tiga bulan yang mencabar ketahanan mental dan fizikal merangkumi beberapa peringkat seperti kem, hutan, paya dan laut.

Lazimnya pada setiap kali pengambilan anggota komando tidak semua yang berjaya, malah lebih separuh daripada mereka gagal untuk menamatkan latihan dan kembali menjadi anggota tentera biasa.

Mereka ini diuji dengan pelbagai bentuk latihan seperti jalan lasak sejauh 160 kilometer (km), mendayung bot tempur secara taktikal sejauh 120km, ikhtiar hidup di dalam paya serta latihan perairan.

Hanya mereka yang mempunyai keupayaan yang luar biasa akan menamatkan latihan yang menyiksakan ini dan layak menyarung beret hijau.

Bagaimanapun, selepas menamatkan latihan asas komando, pelbagai latihan lanjutan perlu mereka lalui termasuklah latihan menembak menggunakan peluru hidup.

Ini bagi membolehkan setiap anggota komando mampu berdepan dengan pelbagai situasi dengan yakin tanpa gentar. Boleh dikatakan bermain dengan peluru hidup sudah menjadi ‘makanan harian’ mereka.

Baru-baru ini, insiden seorang pegawai GGK yang maut tertembak dalam satu pertunjukan di Kem Lok Kawi, Kota Kinabalu, Sabah benar-benar memeranjatkan. Allahyarham Mejar Mohd Zahir Armaya bukan calang-calang anggota komando.

Artikel Berkaitan:

Kehebatannya bermain dengan peluru hidup diakui oleh banyak pasukan keselamatan bukan sahaja di negara ini tetapi bahkan juga pasukan keselamatan dari negara luar.

Tetapi sudah suratan takdir Allahyarham yang juga merupakan anak kepada pelawak terkenal AR Badul menghembuskan nafas terakhir selepas mendapatkan rawatan di Hospital Queen Elizabeth.

Pemergian Allahyarham merupakan satu kehilangan besar bukan sahaja kepada GGK tetapi juga kepada negara.

Agak mengecewakan apabila ada segelintir netizen yang mempertikaikan penggunaan peluru hidup dalam pertunjukan itu. Bagaimanapun mereka ini tidak faham kerana hanya mereka yang menyarung beret komando sahaja yang mengerti.