Pengawal keselamatan diserang dua lelaki bersenjata parang

Gambar hiasan
Gambar hiasan
A
A
A

JOHOR BAHRU - Seorang pengawal mengalami kecacatan kekal di jari tangan kirinya akibat diserang dua lelaki bersenjata parang ketika sedang bekerja di sebuah pusat hiburan di Jalan Susur 1, di sini, awal pagi, Khamis lalu.

Kejadian dipercayai berlaku ketika mangsa yang berusia 32 tahun dan seorang lagi rakan sedang mengawal pintu masuk pusat hiburan berkenaan.

Ketua Polis Daerah Johor Bahru Selatan, Asisten Komisioner Shahurinain Jais berkata, kira-kira jam 4 pagi mangsa dan rakan yang juga berusia 32 tahun tiba-tiba didatangi dua lelaki yang menunggang sebuah motosikal.

“Berlaku pergelutan antara mereka dan dipercayai dua suspek lelaki itu menyerang mangsa dan rakannya dengan menggunakan parang.

“Salah seorang mangsa kemudiannya menahan serangan parang suspek dengan menggunakan tangan mengakibatkannya mengalami hilang fungsi jari telunjuk kiri,” katanya dalam satu kenyataan di sini hari ini.

Shahurinain berkata, sejurus kejadian kedua-dua suspek melarikan diri.

Bagaimanapun katanya, hasil maklumat membawa kepada penahanan empat suspek di sekitar bandar raya ini.

Katanya, suspek yang ditahan berusia dalam lingkungan 25 hingga 35 tahun.

Artikel Berkaitan:

“Dua lelaki yang ditahan pada 5 September lepas itu dipercayai mempunyai kaitan dan mengenali dua lelaki lain yang bertindak memukul mangsa dan rakannya pada kejadian itu.

“Siasatan awal mendapati, kejadian serangan ini dipercayai bermula akibat perasaan tidak puas hati dan pertengkaran kumpulan suspek ini dengan dua mangsa yang diserang,” katanya.

Kes disiasat mengikut Seksyen 326 Kanun Keseksaan.