Rusuhan Papua: Indonesia siasat kemungkinan penglibatan Daesh

Gambar hiasan
Gambar hiasan
A
A
A

JAKARTA - Siasatan pasukan Anti-Keganasan Polis Indonesia, Densus 88, mendapati terdapat penglibatan kumpulan Daesh dalam rusuhan yang berlaku di Papua dan Papua Barat, lapor agensi berita Xinhua.

Sehubungan itu, polis sedang berusaha untuk mengesan dalang di sebalik rusuhan, kata Ketua Biro Perhubungan Awam Brigadier Jeneral Dedi Prasetyo memetik agensi berita Antara.

Satu siri perhimpunan yang tercetus pada 19 Ogos bertukar menjadi ganas di beberapa kawasan di Papua dan Papua Barat, susulan kata-kata berbaur penghinaan yang ditujukan terhadap pelajar Papua di Surabaya, Jawa Timur.

Di Manokwari, penunjuk perasaan yang berang membakar bangunan parlimen dan kenderaan.

ARTIKEL BERKAITAN: Indonesia hadkan pelawat asing ke Papua

Polis mendakwa pemimpin pemisah Papua Benny Wenda sebagai dalang dengan menyebarkan maklumat palsu dan melakukan perbuatan provokasi di media sosial.

Bagaimanapun, pihak polis tidak boleh mengambil tindakan undang-undang kerana beliau bukan lagi warga Indonesia.

Terdahulu, satu siasatan - oleh Polis Negara, Agensi Perisikan dan Agensi Siber dan Enkripsi - menemui 1,750 akaun Facebook dan Twitter yang mengandungi 32,000 artikel berita tidak benar dan kandungan provokasi mengenai keadaan keselamatan di Papua. Sebahagian akaun ini dikendalikan dari luar negara.

Artikel Berkaitan:

Laporan telah dibuat kepada Kementerian Komunikasi dan Maklumat. Semua artikel yang mengandungi berita tidak benar telah dipadamkan dari Facebook dan Twitter.

Polis mengenal pasti 57 suspek terlibat dalam rusuhan di Papua dan 21 lagi suspek di Papua Barat. - Bernama