Kes curi motosikal catat kes tertinggi

Dzulkhairi (kiri) semasa Program Hari Bertemu Pelanggan peringkat IPD Iskandar Puteri di Mydin Mall Mutiara Rini.
Dzulkhairi (kiri) semasa Program Hari Bertemu Pelanggan peringkat IPD Iskandar Puteri di Mydin Mall Mutiara Rini.
A
A
A

JOHOR BAHRU - Jenayah kes curi motosikal dalam kawasan pentadbiran Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Iskandar Puteri mencatatkan kes yang tertinggi pada tahun ini.

Ketua Polis Daerah Iskandar Puteri, Asisten Komisioner Dzulkhairi Mukhtar berkata, jenayah tersebut turut meningkat tahun ini berbanding tempoh sama tahun lalu.

Menurutnya, statistik merekodkan kes kecurian motosikal meningkat 65 kes berbanding 336 kes dalam tempoh bermula Januari sehingga 29 Disember tahun lalu.

"Kawasan yang dilaporkan menjadi tumpuan jenayah adalah sekitar Gelang Patah, Kangkar Pulai dan Nusa Bestari.

"Ini kerana kawasan tersebut merupakan tumpuan orang ramai yang bekerja di Singapura dan mereka meletakkan motosikal di kawasan sekitar ini," katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang media selepas menyempurnakan Program Hari Bertemu Pelanggan peringkat IPD Iskandar Puteri di Mydin Mall Mutiara Rini, di sini, hari ini.

Dzulkhairi menasihatkan orang ramai supaya lebih berhati-hati terhadap motosikal masing-masing untuk mengelakkan kejadian tidak diingini.

Dalam pada itu, katanya, kes jenayah yang membabitkan lain-lain kecurian juga turut dilaporkan mengalami peningkatan pada tahun ini.

Artikel Berkaitan:

“Kes lain-lain ini seperti kecurian dalam pasar raya meningkat 25 kes kepada 174 bermula Januari sehingga 29 Disember tahun ini.

"Pada tahun lalu, kita hanya merekodkan sebanyak 149 kes dalam tempoh sama,” katanya.

Bagaimanapun, secara keseluruhan kes jenayah di sekitar kawasan IPD Iskandar Puteri masih terkawal dan orang ramai tidak perlu khuatir namun dinasihatkan supaya lebih berhati-hati.