Persoal Chin Tong lebih menonjol daripada Mat Sabu

Hantaran di Facebook Asyraf Wajdi mempersoalkan penonjolan Chin Tong di dada akhbar.
A
A

SHAH ALAM - Tindakan pemimpin pembangkang mempersoalkan penonjolan Timbalan Menteri Pertahanan, Liew Chin Tong di dada akhbar berbanding Menteri Pertahanan, Mohamad Sabu disifatkan gagal memahami pembaharuan dan pendekatan diamalkan kerajaan Pakatan Harapan (PH).

Setiausaha Politik Menteri Pertahanan, Mohd Azhar Mat Dali berkata, tidak timbul isu siapa yang lebih menonjol dalam mengangkat dan berwacana mengenai polisi pertahanan kerana PH sentiasa mengamalkan keterbukaan dalam memberi pandangan dan idea, apatah lagi oleh golongan muda.

Menurutnya, Chin Tong merupakan seorang anak muda yang kritis dan sarat dengan pandangan membina ke arah pembentukan sebuah negara bangsa yang ideal.

"Penulisan-penulisan beliau merentas isu dalam dan luar negara amat bersesuaian dengan posisi beliau sebagai Pengarah Strategi Parti Tindakan Demokratik.

"Seawal hari pertama menjalankan tugas Timbalan Menteri Pertahanan, beliau dan Mohamad Sabu telah menjadi satu pasukan yang lebih akrab.

"Mohamad Sabu sebagai pemimpin yang berpengalaman dalam politik, orang lama dalam perjuangan amat bijak menilai dan memilih regu dan pasukan kerja beliau," katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Tambah Mohd Azhar, dek kerana kemampuan Chin Tong, Mohamad Sabu sendiri telah memberi tugas dan peranan khusus kepada Chin Tong khususnya dalam membantu kementerian menyiapkan Kertas Putih Pertahanan.

"Bagi tujuan ini, beliau membuka ruang seluas-luasnya kepada Chin Tong dan sesiapa sahaja untuk menggarap serta melontar idea selagi mana ia dalam ruang lingkup kementerian.

"Perbincangan antara kedua-duanya sering berlaku malah melibatkan juga kepimpinan tertinggi kementerian bagi memastikan sesuatu isu dapat difahami dan diputuskan secara bersama.

"Maka tidak timbul soal siapa yang lebih menonjol kerana semua perkara yang dibangkitkan adalah dalam pengetahuan bersama," katanya.

Terdahulu, Ketua Pemuda UMNO, Datuk Dr Asyraf Wajdi Dusuki menerusi Facebook rasminya memuat naik keratan laporan wawancara Chin Tong dengan sebuah akhbar berbahasa Inggeris tempatan sambil mempertikaikan penonjolan Chin Tong.

Dalam hantaran berkenaan, beliau menulis 'Siapa sebenarnya Menteri Pertahanan Negara? Nampaknya Pengarah Strategik DAP merangkap Timbalan Menteri Pertahanan Liew Chin Tong lebih menyerlah dan menonjol dalam berwacana mengenai dasar-dasar dan polisi-polisi pertahanan negara. Apa pendapat semua?'