Henti pertikai Anwar

Chean Chung(kiri) bersama Penyelaras Projek #KUBE, Pang Shee Lim (kanan) dan pemilik Gunteng Barbershop menunjukkan rak buku yang dilancarkan, hari ini.
Chean Chung(kiri) bersama Penyelaras Projek #KUBE, Pang Shee Lim (kanan) dan pemilik Gunteng Barbershop menunjukkan rak buku yang dilancarkan, hari ini.
A
A
A

KUANTAN - Keputusan Presiden PKR, Datuk Seri Anwar Ibrahim melantik Majlis Pimpinan Pusat (MPP) PKR daripada pelbagai latar belakang dilihat langkah terbaik dan mampu memberi kebaikan kepada parti.

Bendahari Agung PKR, Lee Chean Chung berkata, langkah itu disifatkan sebagai gabungan demi kebaikan parti dan tidak perlu untuk dipertikaikan.

Menurutnya, Anwar dilihat tidak memihak kepada kumpulan tertentu dalam pelantikan MPP sebaliknya keputusan dibuat secara rundingan.

“Ada yang dilantik itu daripada kem Timbalan Presiden, Datuk Seri Mohamed Azmin Ali, kem Rafizi Ramli bahkan ada yang dilantik dari kalangan bekas ahli parti lain.

“Beliau (Anwar) menjalankan tugasnya mengikut perlembagaan parti termasuk urusan pelantikan pimpinan, jadi kita kena akur kerana ia adalah di bawah kuasa presiden,” katanya.

Adun Semambu ini berkata demikian selepas melancarkan rak buku Projek #KuantanBookExchange #KUBE di Gunteng Barbershop Indera Mahkota di sini, hari ini.

Chean Chung berkata, semua pihak dalam PKR perlu memberi ruang secukupnya kepada presiden untuk memimpin parti dengan corak dan gaya kepimpinan beliau.

“Kita kena matang dalam melihat perkara ini. Cukuplah keluarkan kenyataan-kenyataan atau luahan perasaan.

Artikel Berkaitan:

“Perbezaan pendapat perkara biasa dalam parti dan itulah uniknya PKR berbanding parti lain, ramai yang berani mengutarakan pandangan masing-masing, tapi perlu ada hadnya.

“Jadi dalam isu ini, saya kira sudah tiba masa ia dihentikan,” katanya.

Semua pihak perlu bergerak ke hadapan dan mengutamakan isu rakyat, ekonomi dan kos sara hidup dalam berdepan 2019 yang mencabar.

Sementara itu, menyentuh berhubung pelantikan dirinya sebagai bendahari agung, Chean Chung berkata, ia di luar jangkaan.

“Bagaimanapun saya menerima pelantikan ini dengan hati terbuka dan sedia memikul amanah yang dipertanggungjawabkan.

“Jika dibandingkan dengan bendahari agung sebelum ini, semuanya jauh berpengalaman dan senior termasuk dalam kalangan Ahli Parlimen.

“Walaupun saya jauh lebih muda dan bukan Ahli Parlimen, tugas ini akan dilaksanakan sebaik mungkin ,”katanya.