X

Kindly register in order to view this article
!

AIM ubah nasib 700,000 ahli keluarga berpendapatan rendah

Amiruddin (kanan) memukul gong simbolik merasmikan majlis perasmian Fiesta Sahabat Amanah Ikhtiar Malaysia (AIM) 2019 di Institut Latihan Perindustrian (ILP) Kangar hari ini.
A
A

KANGAR - Amanah Ikhtiar Malaysia (AIM) berjaya membantu seramai 700,000 ahli keluarga golongan berpendapatan rendah (B40) keluar dari belenggu kemiskinan untuk menikmati kehidupan yang lebih baik melalui perniagaan secara kecil-kecilan.

Timbalan Menteri Kewangan, Datuk Amiruddin Hamzah berkata, kerajaan sentiasa memberi sokongan kepada AIM agar dapat menarik lebih ramai lagi wanita mengubah nasib mereka.

Katanya, justeru itu AIM menyasarkan seramai 400,000 Sahabat AIM yang aktif dapat dicapai menjelang penghujung tahun ini.

"Setakat ini, AIM sudah mempunyai seramai 340,000 Sahabat di seluruh negara. Jadi kita yakin AIM dapat mencapai sasaran tersebut kerana kelompok ini kadang-kala sukar untuk mendapatkan pembiayaan dari institusi lain," katanya ketika ditemui selepas merasmikan Fiesta Sahabat AIM Negeri Perlis di sini hari ini.

Menurutnya, kejayaan AIM merekodkan kadar bayaran balik lebih 98 peratus sejak skim pembiayaan kredit mikro itu diperkenalkan 32 tahun lalu amat membanggakan kerana tiada mana-mana institusi kewangan yang mampu menandinginya.

"Ini membuktikan komitmen para sahabat sangat tinggi untuk membayar semula pinjaman mereka kerana mereka sedar itu adalah tanggungjawab mereka," katanya.

Sementara itu, Pengerusi Lembaga AIM, Datuk Junaidah Kiting berkata, AIM Perlis yang terdiri daripada Cawangan Perlis Utara dan Perlis Selatan telah berjaya membantu lebih 4,500 orang sahabat melalui penyediaan bantuan pembiayaan dan latihan sehingga Julai lalu.

Katanya, dalam tempoh tujuh bulan pertama ini juga, pihaknya telah mengeluarkan bantuan pembiayaan kira-kira RM25 juta kepada sahabat-sahabat yang merupakan golongan dalam kategori B40.

"Pada tahun ini, AIM menyasarkan untuk membantu seramai 6,400 orang golongan B40 di Perlis dengan penyediaan peruntukkan sebanyak RM38.2 juta," katanya.

Turut hadir, Pengarah Urusan AIM, Mohamed Shamir Abdul Aziz dan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Sena, Asrul Nizan Abd Jalil.


Dapatkan informasi dan statistik terkini penularan wabak Covid-19 di Malaysia di sini: https://info.sinarharian.com.my/koronavirus