Peluru hidup untuk latihan keberanian

 Dr Ismail Abu Bakar - Foto Bernama
Dr Ismail Abu Bakar - Foto Bernama
A
A
A

KUALA LUMPUR - Penggunaan peluru hidup dalam latihan adalah perkara biasa bagi anggota pasukan elit dalam pasukan khas Polis Diraja Malaysia (PDRM) dan Angkatan Tentera Malaysia (ATM) bagi melatih keberanian mereka.

Ketua Setiausaha Negara (KSN), Datuk Seri Dr Ismail Abu Bakar berkata, pasukan khas perlu menjalani latihan mengikut keadaan sebenar supaya mereka berani untuk berdepan situasi berkenaan.

Justeru katanya, apa yang berlaku terhadap Mejar Mohd Zahir Armaya adalah keperluan kepada latihan.

"Pihak Kementerian Pertahanan sedang menjalankan siasatan secara dalaman dan sudah tentunya akan melihat kejadian sebenar yang berlaku.

"Apa yang penting sebagai anggota elit mereka memang memerlukan latihan menggunakan peluru hidup untuk memberanikan diri bagi mengambil tindakan sebenar," katanya kepada pemberita selepas mengadakan lawatan kerja di Lapang Sasar Briged Tengah Pasukan Gerakan Am (PGA) Cheras di sini hari ini.

Ismail berkata demikian bagi mengulas insiden pegawai komando tertembak ketika membuat aksi gimik pada Pelancaran Divisyen Kelima Infantri Malaysia dan Briged Ke-13 Infantri Malaysia di Kem Lok Kawi, Kota Kinabalu Sabtu lalu.

Berikutan insiden berkenaan, Mohd Zahir yang juga seorang pegawai tentera Pasukan 11 Rejimen Gerak Khas dikejarkan ke Hospital Queen Elizabeth 1 sebelum disahkan meninggal dunia.

Dalam perkembangan lain, Ismail turut mengesahkan telah ada beberapa calon bagi menggantikan Ketua Pengarah Perkhidmatan Awam, Datuk Seri Borhan Dolah yang akan bersara esok (9 September).

Artikel Berkaitan:

"Calon-calon untuk ganti beliau telah ada dan sedang membuat pertimbangan lanjut,” katanya.

Sebelum ini, Borhan dilantik sebagai Ketua Pengarah Perkhidmatan Awam berkuat kuasa 13 Julai 2018 bagi menggantikan Tan Sri Zainal Rahim Seman yang tamat tempoh kontrak.