Jurujual perabot maut motosikal terbabas

Keadaan motosikal yang ditunggang mangsa.
Keadaan motosikal yang ditunggang mangsa.
A
A
A

MELAKA - Seorang jurujual perabot maut selepas motosikal ditunggang hilang kawalan lalu terbabas di Lebuh Alor Gajah-Melaka Tengah-Jasin (AMJ) Kandang di sini malam tadi.

Dalam kejadian kira-kira jam 9.15 malam itu, mangsa, Khairulnorazman Madzlan, 37, menunggang motosikal jenis Yamaha 135 LC maut di lokasi kejadian setelah mengalami kecederaan parah pada bahagian kepala.

Ketua Jabatan Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik (JSPT) negeri, Superintendan Hassan Basri Yahya berkata, ketika kejadian mangsa dipercayai dalam perjalanan dari arah Bandaraya Melaka menghala ke rumahnya di Kandang.

"Hasil siasatan awal mendapati kemalangan dipercayai berlaku sebaik mangsa tiba di persimpangan untuk membuat pusingan U di Jalan AMJ Kandang.

"Motosikal ditunggangnya hilang kawalan lalu melanggar pengadang tengah jalan sehingga mengakibatkan mangsa melambung dan mengalami kecederaan parah di kepala," katanya ketika dihubungi Sinar Harian hari ini.

Mayat mangsa telah dihantar ke Jabatan Forensik Hospital Melaka untuk tujuan bedah siasat.

Kenderaan yang digunakan mangsa telah dihantar untuk pemeriksaan Puspakom dan siasatan masih lagi diteruskan di bawah Seksyen 41(1)(A) Akta Pengangkutan Jalan 1987.

Artikel Berkaitan: