STL 2019 platform terbaik persiap pemain untuk Sukan SEA

Liga Sepak Takraw (STL) 2019 yang membuka tirainya semalam menjadi platform terbaik buat barisan pemain negara persiapkan diri sebelum menghadapi Sukan SEA 2019 di Manila, Filipina November depan.
Liga Sepak Takraw (STL) 2019 yang membuka tirainya semalam menjadi platform terbaik buat barisan pemain negara persiapkan diri sebelum menghadapi Sukan SEA 2019 di Manila, Filipina November depan.
A
A
A

LIGA Sepak Takraw (STL) 2019 yang membuka tirainya semalam menjadi platform terbaik buat barisan pemain negara persiapkan diri sebelum menghadapi Sukan SEA 2019 di Manila, Filipina November depan.

Presiden Persatuan Sepak Takraw Malaysia (PSM), Datuk Seri Ahmad Ismail berkata, perlawanan STL akan memastikan setiap pemain lebih bersedia mengharungi aksi sengit dalam temasya dwitahunan itu.

“STL adalah platform terbaik untuk mempersiapkan pemain kita beraksi pada Sukan SEA di Manila nanti.

“Saya mengharapkan sukan sepak takraw ini akan menjadi penyeri kepada kilauan emas yang akan dikumpul negara di Manila,” katanya dalam ucapan semasa pelancaran STL 2019 di Kuala Lumpur semalam.

Majlis perasmian itu turut dihadiri Timbalan Menteri Belia dan Sukan, Steven Sim Chee Keong dan Presiden Majlis Olimpik Malaysia (MOM), Datuk Seri Mohamad Norza Zakaria.

Skuad negara mempunyai misi penting untuk meraih sekurang-kurang satu emas di Manila nanti selepas meraih dua kilauan pingat menerusi acara chinlone dan regu pada temasya di Kuala Lumpur dua tahun lalu.

Dalam pada itu, beliau turut menjelaskan saingan STL tahun ini menjanjikan kelainan apabila lapan pemain import dari Thailand akan menyemarakkan saingan berbanding hanya dua pemain import pada edisi lalu.

“Ini adalah salah satu inisiatif PSM dalam menambah kualiti dan tahap kompetitif STL musim ini. Kita bukan sekadar dapat menyaksikan libasan dan gulungan daripada pemain muda yang meningkat naik mahupun himpunan skuad kebangsaan.

Artikel Berkaitan:

“Malah, dengan lebih ramai pemain import, saya mengharapkan persaingan lebih mencabar antara setiap pasukan, sekali gus melahirkan pemain berkaliber dan berbakat,” ujarnya.

Sementara itu, Ketua Bahagian Sukan Astro, Lee Choong Khay berkata, pihaknya sentiasa berusaha menyusun strategi bagi menaikkan lagi nilai komersial dan imej STL khususnya sepak takraw Malaysia ke peringkat antarabangsa.

“Selepas lima musim, revolusi sepak takraw melalui STL cukup menakjubkan apabila tahun lalu liga ini mencatat jumlah tertinggi 5.6 juta penonton manakala rekod pendigitalan mencatat 19 juta penonton.

“Kerjasama PSM dan Astro ternyata berjaya membawa impak segera kepada landskap sepak takraw negara,” katanya sambil memberitahu Astro turut menjalin kerjasama bersama Sinar Harian sebagai media cetak rasmi.