Jawatankuasa khas kaji hukuman gantian hukuman mati mandatori ditubuh

Liew Vui Keong - Foto Bernama
Liew Vui Keong - Foto Bernama
A
A
A

PUTRAJAYA - Kerajaan bersetuju untuk menubuhkan Jawatankuasa Khas Kajian Hukuman Gantian Terhadap Hukuman Mati Mandatori bagi mengkaji dan menasihatkan kerajaan mengenai cadangan dasar penghukuman alternatif.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri Datuk Liew Vui Keong dalam satu kenyataan hari ini berkata penubuhan jawatankuasa khas itu adalah berdasarkan keputusan Jemaah Menteri pada 29 Ogos lepas.

Menurutnya, jawatankuasa khas itu akan dipengerusikan oleh seorang mantan Ketua Hakim Negara.

Ahli-ahlinya terdiri daripada mantan Hakim Mahkamah Persekutuan, mantan pegawai Jabatan Peguam Negara, mantan pegawai kanan Jabatan Penjara, wakil Majlis Peguam, wakil Suruhanjaya Hak Asasi Manusia (Suhakam), ahli akademik, pakar kajian jenayah dan wakil pertubuhan masyarakat sivil (CSO).

"Kerajaan mengambil langkah proaktif dan berhati-hati dengan menubuhkan jawatankuasa khas ini bagi memastikan hukuman alternatif ini adalah setimpal dengan kesalahan jenayah yang dilakukan serta mengambil kira implikasi dan kebajikan terhadap mangsa perlakuan jenayah tersebut,” katanya.

Beliau berkata pemansuhan hukuman mati mandatori akan memberi budi bicara kepada hakim untuk menjatuhkan hukuman mati atau hukuman alternatif berdasarkan fakta kes.

Vui Keong berkata cadangan penghapusan hukuman mati mandatori itu adalah selaras dengan Janji 27 dalam manifesto Pakatan Harapan. - Bernama

Artikel Berkaitan: