Isu Kashmir topik utama pertemuan Modi, Tun M: Saifuddin

Menteri Luar Datuk Saifuddin Abdullah mengadakan sidang media bersama wartawan Malaysia sempena lawatan kerja Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohamad di Forum Ekonomi Timur (EEF) 2019 malam tadi. - Foto Bernama
Menteri Luar Datuk Saifuddin Abdullah mengadakan sidang media bersama wartawan Malaysia sempena lawatan kerja Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohamad di Forum Ekonomi Timur (EEF) 2019 malam tadi. - Foto Bernama
A
A
A

VLADIVOSTOK - Isu Jammu dan Kashmir menjadi topik utama dalam mesyuarat dua hala antara Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohamad dan rakan sejawatannya dari India, Narendra Modi semalam.

Menteri Luar Datuk Saifuddin Abdullah berkata kedua-dua pemimpin berbincang mengenai hubungan bilateral secara umum, dalam pertemuan yang dibuat atas permintaan Modi, di luar acara Sidang Kemuncak Ekonomi Timur di sini.

"Perdana Menteri Modi mengambil masa yang panjang, untuk menjelaskan kedudukan di Jammu dan Kashmir. Tun Dr Mahathir menjelaskan pendirian Malaysia, bahawa semua pihak harus memenuhi atau mematuhi resolusi-resolusi Pertubuhan Bangsa-bangsa Bersatu (PBB)," katanya pada sidang media, di sini, malam tadi.

Saifuddin berkata Dr Mahathir secara jelas tidak menyatakan sokongan atau bangkangan kepada mana-mana pihak, tetapi berharap pertelingkahan dapat dielakkan agar tidak terjerumus dalam kancah peperangan.

Selain mematuhi resolusi PBB, Perdana Menteri menyatakan cara terbaik untuk menyelesaikan isu di Kashmir ialah dengan melalui rundingan, serta membawa pihak ketiga jika perlu, atau membawa terus ke pengadilan antarabangsa.

Mengenai signifikasinya isu itu terhadap Malaysia, Saifuddin berkata Modi menganggap Malaysia sebagai negara Islam yang mempunyai kedudukan tersendiri, dalam kalangan negara-negara Islam yang boleh menerangkan situasi sebenar, sekiranya perkara ini ditimbulkan di mana-mana platform antarabangsa.

Laporan media menyatakan ketegangan antara Pakistan dan India memuncak bulan lepas, susulan langkah India membatalkan status istimewa Jammu dan Kashmir yang membolehkan penduduknya menggubal undang-undang sendiri dan menghalang orang luar menetap di wilayah itu.

Jammu dan Kashmir di rantau Himalaya yang majoriti penduduknya Islam, terbahagi dua masing-masing dikuasai India dan Pakistan. Kedua-dua pihak menuntut untuk menguasai sepenuhnya dua wilayah berkenaan.

Artikel Berkaitan:

Sejak 1947, kedua-dua negara telah tiga kali berperang - pada 1948, 1965 dan 1971 - dua daripadanya untuk menguasai Kashmir.

Mengenai isu Dr Zakir, Saifuddin berkata: "Zakir Naik telah disebut oleh Perdana Menteri Modi secara sekali lalu, dan dia (Modi) sebut perkara itu sedang dibincangkan oleh pegawai kedua-dua negara.

“Itulah cara beliau (Modi) sebut perkata itu. Kemudian, Tun Dr Mahathir pun tidak respons kerana banyak masa digunakan untuk bincang mengenai kes Kashmir”.

Bagaimanapun, Saifuddin menjelaskan tiada sebarang perbincangan di peringkat kementeriannya dengan Kementerian Luar Negeri India sekarang, dan hanya nota diplomatik yang dihantar oleh India memohon untuk mengektradisi Dr Zakir, warganegara India yang mempunyai status pemastautin tetap (PR) di Malaysia.

Secara keseluruhan, Saifuddin menyatakan isu Zakir tidak menjejaskan hubungan Malaysia dengan India.

Menyentuh mengenai pertemuan Perdana Menteri dengan Presiden Rusia Vladimir Putin, beliau berkata perbincangan meliputi kerjasama dalam bidang pendidikan kejuruteraan aeroangkasa, penjualan kelapa sawit kepada Rusia dan tawaran aset ketenteraan kepada Malaysia.

"Rusia tawar jet pejuang baharu dan sanggup mengambil balik jet kita yang lama, tetapi tidak disebut secara terperinci kerana kerajaan masih lagi belum memutuskan untuk beli atau tidak," jelasnya.

Dalam satu pertemuan dengan Putin di luar Sidang Kemuncak ASEAN di Singapura tahun lepas, Dr Mahathir memohon bantuan Rusia bagi menyenggara pesawat yang dibeli daripada negara itu.- Bernama