Henti skim pencen tindakan zalim

Laporan Sinar Harian semalam. Gambar kecil:Najmil Faiz Mohamed Aris
Laporan Sinar Harian semalam. Gambar kecil:Najmil Faiz Mohamed Aris
A
A
A

KUALA TERENGGANU - Cadangan penghentian skim pencen untuk kakitangan awam disifatkan sebagai tindakan yang zalim dan kejam.

Exco Pemuda UMNO, Datuk Dr Najmil Faiz Mohamed Aris berkata, adalah menjadi tanggungjawab kerajaan membela kebajikan pesara yang banyak berjasa kepada negara.

“Sebelum ini, nasib dan masa depan penjawat awam di bawah kerajaan Barisan Nasional (BN) adalah fokus utama, walaupun negara dilanda krisis kewangan seperti tahun 2008. Kelembapan ekonomi dunia juga tidak menghalang usaha membela nasib penjawat awam dengan pemberian pelbagai insentif dan skim pencen.

“Malah dalam Bajet 2018, kerajaan BN telah menetapkan pencen terendah kepada RM1,000 untuk mereka yang berkhidmat sekurang-kurangnya 25 tahun serta pelbagai faedah lain,” katanya dalam satu kenyataan kepada Sinar Harian.

Ia susulan pengumuman Ketua Pengarah Perkhidmatan Awam, Datuk Seri Borhan Dolah yang menyatakan lantikan baharu ke dalam perkhidmatan awam selepas ini mungkin kontrak dan bukannya tetap seperti sebelum ini.

Jelasnya, skim pencen adalah beban utama kerajaan dan mencecah RM28 bilion setahun, dan kini sedang mempertimbangkan untuk memansuhkan skim pencen.

Mengulas lanjut, Dr Najmil berkata, sebelum ini, demi memastikan survival negara serta penjawat awam, kerajaan BN telah melancarkan pelbagai dasar strategik misalnya Program Transformasi Ekonomi.

Hasilnya, pendapatan kerajaan meningkat daripada RM185 bilion pada 2011 kepada RM225 bilion pada 2017 dengan kadar pertumbuhan tahunan terkumpul (CAGR) tiga peratus dalam tempoh berkenaan.

Artikel Berkaitan:

“Walaupun tidak lagi menjadi kerajaan, dasar dan mekanisme yang digunakan BN untuk mentadbir negara terbukti berjaya di mana kerajaan tidak pernah menghentikan skim pencen penjawat awam atas alasan untuk menjimatkan perbelanjaan negara.

“Apa yang berlaku pada hari ini terhadap penjawat awam adalah bukti kegagalan terbesar kerajaan Pakatan Harapan (PH) mentadbir negara kerana tidak mampu lagi meneruskan skim pencen akibat daripada tadbir urus yang tidak cekap, peningkatan hutang negara, penurunan kemasukan pelabur asing dan pelbagai lagi,” katanya.

ARTIKEL BERKAITAN: Kerajaan kaji cadangan henti skim pencen: TPM