Siasatan MH17: Malaysia tidak boleh terima dengan mudah

No Image Caption
A
A
A

VLADIVOSTOK - Malaysia ada kesangsian dan tidak dapat menerima dengan mudah sebahagian daripada penemuan pasukan penyiasat bersama (JIT) diketuai Belanda yang menyiasat insiden penembakan jatuh pesawat Malaysia Airlines MH17.

Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad berkata, terdapat keperluan kepada sebuah badan bebas terdiri daripada pakar dari banyak negara yang biasa dengan kejadian pesawat terhempas seperti itu untuk menyiasatnya kerana pandangan JIT mungkin tidak adil dan berpihak.

“Pandangan mereka mungkin tidak adil dan berpihak, kita perlukan sebuah badan bebas untuk melakukan siasatan dn penemuan-penemuannya juga adalah sesuatu yang tidak boleh kita terima dengan mudah.

“Hendak mengenal pasti siapa yang melepaskan tembakan adalah amat sukar (tetapi) untuk mengenal pasti jenis peluru berpandunya, ya. Kawasan di mana ia berlaku, itu boleh dipastikan tetapi untuk mengenal pasti siapa sebenarnya yang melepaskan tembakan, itu amat sukar dalam keadaan biasa,” katanya semasa diwawancara oleh agensi berita Sputnik yang ibu pejabatnya di Moscow, Rusia.

Menurutnya, keikhlasan mereka tidak dipertikaikan tetapi ada perkara tertentu sukar bagi Malaysia hendak menerimanya terutama mengenai identiti orang yang sebenarnya melepaskan tembakan peluru berpandu itu.

“Adalah amat sukar hendak ditentukan kerana sebaik sahaja peluru berpandu itu dilepaskan, mereka boleh bergerak ke mana-mana sahaja tetapi anda boleh kenal pasti bahagian peluru berpandu itu dan menentukan jenis peluru berpandu berkenaan atau bahagian pesawat dan bahagian mana pesawat yang rosak.

“Tetapi untuk mengatakan anda tahu siapa yang melepaskan tembakan peluru berpandu itu, itu adalah sesuatu yang melampau dan amat sukar untuk kami menerimanya.

“Saya tidak ada saudara-mara yang terbunuh di sana, saya tidak berhak ke atas mana-mana tuntutan insurans tetapi melihatnya sebagai seorang pemerhati dari luar. Sebahagian daripada penemuan yang dibuat nampak kepada saya dan ramai orang di Malaysia macam tidak betul,” katanya.

Artikel Berkaitan:

Pada 17 Julai 2014, pesawat yang membawa 298 orang dari Amsterdam ke Kuala Lumpur itu ditembak jatuh di ruang udara Donetsk, Ukraine.

Pasukan penyiasat JIT menyimpulkan bahawa MH17 ditembak jatuh dengan peluru berpandu anti-pesawat BUK oleh puak pemisah pro-Rusia dalam konflik mereka dengan Ukraine.

Pada Jun, pasukan penyiasat JIT, yang terdiri daripada Australia, Belgium, Malaysia, Belanda dan Ukraine, mengumumkan bahawa empat individu - tiga rakyat Rusia iaitu Igor Girkin, Sergey Dubinskiy dan Oleg Pulatov dan seorang warga Ukraine, Leonid Kharchenko - akan didakwa kerana menembak jatuh pesawat MH17.

Dr Mahathir berkata, adalah penting untuk mencari bukti lain untuk mengenal pasti penjenayahnya dan dari negara mana yang terlibat dalam penembakan peluru berpandu itu.

“Jika mereka boleh menjumpainya dari bukti lain, maka ia menjadi bukti yang sahih dan saya fikir saudara-mara mangsa akan boleh membuat tuntutan,” katanya. - Bernama