Kementerian adakan libat urus RMK12 dengan Kelantan

Mohd Radzi (kiri) bersama Ahmad mempengerusikan sesi libat urus RMK12 di Kota Darul Naim hari ini.
Mohd Radzi (kiri) bersama Ahmad mempengerusikan sesi libat urus RMK12 di Kota Darul Naim hari ini.
A
A
A

KOTA BHARU - Kementerian Hal Ehwal Ekonomi mengadakan sesi libat urus penyediaan Rancangan Malaysia Ke-12 (RMK12), 2021-2025 bersama kerajaan Kelantan hari ini.

Timbalan Menteri Hal Ehwal Ekonomi, Dr Mohd Radzi Jidin berkata, penyediaan RMK12 itu akan mengambil pendekatan selaras dengan Wawasan Kemakmuran Bersama yang diumumkan Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad untuk merapatkan jurang dan menstruktur semula ekonomi ke arah Malaysia menjadi paksi untuk ekonomi Asia menjelang 2030.

Menurutnya, sesi libat urus yang ke-13 itu juga meneroka keunikan dan kekuatan yang boleh dioptimumkan di Kelantan.

“Di bawah Rolling Plan 4 (2019) RMK11, Kelantan adalah antara negeri yang diberi keutamaan membabitkan peruntukan sebanyak RM1.4 bilion untuk pembangunan keseluruhan,” katanya dalam satu kenyataan selepas sesi libat urus bersama Kerajaan Kelantan bagi penyediaan RMK12 di Bilik Gerakan Kota Darul Naim semalam.

Hadir sama ialah Menteri Besar Kelantan, Datuk Ahmad Yakob; Timbalan Menteri Besar Kelantan, Datuk Mohd Amar Abdullah dan Setiausaha Kerajaan Negeri, Datuk Nazran Muhammad.

Mohd Radzi berkata, kerajaan turut memberi perhatian kepada pembangunan ekonomi rentas sempadan melibatkan Kelantan dan Thailand.

Selain itu katanya, kerjasama serantau dalam Strategi Pembangunan Bersama Kawasan Sempadan (JDS) Malaysia – Thailand dan Segi Tiga Pertumbuhan Indonesia-Malaysia-Thailand (IMT-GT) akan terus dimanfaatkan bagi pembangunan negeri Kelantan.

Artikel Berkaitan: