Kerajaan kaji cadangan henti skim pencen: TPM

Wan Azizah - Foto Bernama
Wan Azizah - Foto Bernama
A
A
A

KUALA LUMPUR - Cadangan untuk menghentikan Skim Pencen Perkhidmatan Awam bagi lantikan baharu bermula tahun hadapan masih dalam peringkat kajian.

Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Wan Azizah Wan Ismail berkata, ia akan dibawa ke peringkat Kabinet untuk persetujuan.

“Saya difahamkan ia akan diangkat kepada Kabinet untuk mendapatkan persetujuan atau pun tidak, kita akan bincangkan lebih lanjut lagi.

“Namun ia belum lagi diberi kepada Kabinet, kita akan perincikan kemudian,” katanya selepas melancarkan program Women in Business (WinBiz) di sini hari ini.

WinBiz yang diperkenalkan Bank Islam sebagai penyelesaian kewangan baharu yang dikhususkan bagi usahawan wanita di bawah segmen perniagaan perindustrian kecil dan sederhana (PKS).

Semalam, Ketua Pengarah Perkhidmatan Awam, Datuk Seri Borhan Dolah berkata, mulai tahun hadapan lantikan baharu dalam perkhidmatan awam mungkin tidak lagi dibuat di bawah skim tetap dan berpencen sebaliknya digantikan dengan skim lantikan kontrak yang ditambah baik.

Menurutnya, langkah itu diputuskan dalam mesyuarat Jawatankuasa Khas Pembaharuan Perkhidmatan Awam pada Oktober 2018 mahukan perkhidmatan awam dikecilkan secara berfasa dan berdasarkan keperluan selain mengurangkan bebanan pencen yang kini mencecah RM28 bilion.

Terdahulu, Wan Azizah yang juga Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat dalam ucapannya menyeru institusi kewangan di Malaysia mencontohi dan mengikut langkah Bank Islam dalam memperkenalkan produk atau perkhidmatan yang menggalakkan penglibatan wanita dalam bidang keusahawanan.

Artikel Berkaitan:

Beliau juga menggesa pihak swasta dan badan bukan kerajaan (NGO) untuk berusaha ke arah meningkatkan penglibatan wanita dalam perniagaan, terutama perindustrian kecil dan sederhana (PKS).

Berdasarkan Banci Ekonomi 2016 oleh Jabatan Perangkaan Malaysia terdapat hampir satu juta perniagaan dalam segmen PKS termasuk kira-kira 20.6 peratus perniagaan yang dimiliki atau dikuasai wanita.

“Ini jelas menunjukkan bahawa PKS antara tulang belakang kepada kesejahteraan ekonomi negara dan saya yakin bahawa usahawan wanita berkemampuan memacu pertumbuhan ekonomi untuk jangka panjang,” katanya.

Ini dapat dicapai sekiranya mereka diberi ruang untuk merangsang kemampuan dan kapasiti di samping menjalin kerjasama dengan perniagaan, kerajaan dan masyarakat bagi terus memperkukuhkan peluang serta hasil dalam rantaian nilai domestik mahupun global. - Bernama