Lesap RM150,000 ditipu pelaburan tidak wujud

Mohd Wazir Mohd Yusof
Mohd Wazir Mohd Yusof
A
A
A

KUANTAN - Seorang pengurus sebuah syarikat di sini mengalami kerugian RM150,000 selepas ditipu seorang lelaki yang menawarkan pelaburan tidak wujud pada 12 Jun lalu.

Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Komersial Pahang, Superintendan Mohd Wazir Mohd Yusof, berkata suspek menghubungi pengurus berusia 42 tahun itu dan memaklumkan mangsa ada menerima projek membekalkan barang kepada sebuah syarikat.

Namun menurutnya, suspek mendakwa syarikat milik mangsa tidak mempunyai modal yang cukup dan menawarkan kepada mangsa untuk membuat pelaburan ke atas syarikatnya.

“Mangsa dan suspek telah berbincang dan mencapai persetujuan pada 17 Jun lalu.

“Mangsa kemudian menyerahkan wang sebanyak RM150,000 melalui transaksi bank daripada syarikatnya ke akaun syarikat milik suspek sebagai modal perniagaan bagi projek berkenaan,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Bagaimanapun pada Julai lalu, Mohd Wazir berkata, mangsa ada menghubungi suspek untuk mengetahui status pulangan daripada pelaburan yang disertainya, namun sehingga kini suspek memberikan pelbagai alasan.

Jelasnya, suspek juga tidak mahu membuat sebarang pembayaran terhadap pelaburan yang dibuat oleh mangsa.

“Mangsa merasakan suspek telah memperdayakannya dan membuat semakan ke atas invois yang terlibat dengan projek berkenaan lalu mendapati ia adalah palsu.

Artikel Berkaitan:

“Suspek turut mengaku melalui mesej WhatsApp yang dia memperdayakan mangsa melalui projek berkenaan untuk mendapatkan wang sebanyak RM150,000," katanya.

Mangsa membuat laporan polis di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kuantan.

Kes disiasat mengikut Seksyen 420 Kanun Keseksaan kerana menipu yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum 10 tahun dan sebat dan boleh didenda jika sabit kesalahan.