'Geng Bingai Turbo' masuk jerat polis, dua diberkas

Shafa'aton (kiri) menunjukkan kenderaan yang dirampas susulan tertangkapnya dua lelaki di Jalan Taman Sri Gombak, Selangor, 27 Ogos lalu.
Shafa'aton (kiri) menunjukkan kenderaan yang dirampas susulan tertangkapnya dua lelaki di Jalan Taman Sri Gombak, Selangor, 27 Ogos lalu.
A
A
A

SUNGAI BULOH - 'Geng Bingai Turbo' yang aktif melakukan kegiatan mencuri kereta lama sejak awal tahun ini akhirnya tumpas dalam operasi pada 27 Ogos lalu di Jalan Taman Sri Gombak, dekat sini.

Ketua Polis Daerah Sungai Buloh, Superintendan Shafa'aton Abu Bakar berkata, operasi sepasukan anggota Bahagian Siasatan Jenayah Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Sungai Buloh kira-kira jam 2 petang itu berjaya memberkas dua lelaki berusia 27 dan 33 tahun.

"Soal siasat dan dengan dipandu arah oleh suspek yang bekerja sebagai mekanik berjaya membawa kepada serbuan di lima lokasi di sekitar Lembah Klang.

"Serbuan pada hari sama dan keesokannya itu berjaya menemukan enam kereta curi iaitu Honda Accord, Proton Satria, Proton Wira (2) dan Perodua Kelisa (2)," katanya pada sidang akhbar di IPD Sungai Buloh, hari ini.

Beliau berkata, semakan mendapati suspek berusia 27 tahun itu memiliki 41 rekod lampau bersabit kes curi (24 kes), dadah (8), curi motosikal (4), curi dalam kenderaan (4) dan pecah rumah (satu) selain satu rekod dikehendaki bersabit kes dadah.

Katanya, selain itu seorang lagi suspek juga didapati mempunyai dua rekod lampau bersabit kes dadah.

Antara kenderaan yang berjaya dirampas semula dalam operasi di sekitar Lembah Klang pada 27 Ogos dan 28 Ogos lalu.
Antara kenderaan yang berjaya dirampas semula dalam operasi di sekitar Lembah Klang pada 27 Ogos dan 28 Ogos lalu.

"Berdasarkan modus operandi geng ini, siasatan mendapati mereka sebagai penggerak untuk melakukan jenayah tersebut. Kesemua kereta itu dicuri dengan cara mengumpil pintu dan memotong wayar suis sebelum diletakkan di kawasan lot kedai atau kondominium.

Artikel Berkaitan:

"Mereka ini menyasarkan kereta-kereta lama kerana mudah untuk dicuri. Malah kereta ini akan dijual dengan harga RM500 sehingga RM1,000," katanya.

Shafa'aton berkata, pihaknya kini masih giat memburu seorang lagi rakan suspek berusia lingkungan 30-an yang berperanan membuat geran palsu sebelum dijual kepada pembeli. Polis percaya geng ini terlibat dalam 15 kes di sekitar Lembah Klang.

Tambahnya, siasatan masih dijalankan dan kedua-dua suspek yang dikesan positif dadah itu masih dalam proses reman. Kes disiasat mengikut Seksyen 379A Kanun Keseksaan.