14 pekerja medan selera warga asing dicekup imigresen

Antara warga asing yang ditahan dalam Ops Selera di medan selera sebuah pusat beli-belah di Jalan Tuanku Abdul Rahman, Kuala Lumpur, semalam.
Antara warga asing yang ditahan dalam Ops Selera di medan selera sebuah pusat beli-belah di Jalan Tuanku Abdul Rahman, Kuala Lumpur, semalam.
A
A
A

KUALA LUMPUR - Seramai 14 pendatang asing tanpa izin (PATI) yang bekerja di medan selera ditahan penguat kuasa imigresen dalam Ops Selera di sebuah pusat membeli-belah di Jalan Tuanku Abdul Rahman, di sini semalam.

Pengarah Imigresen Kuala Lumpur, Hamidi Adam berkata, seramai enam lelaki dan lapan wanita warga asing berusia 25 hingga 37 tahun ditahan hasil pemeriksaan terhadap 36 individu di 11 premis.

"Semakan mendapati PATI itu terdiri daripada warga Indonesia seramai lapan orang, Bangladesh (3), Nepal (2) dan seorang Filipina.

"Turut ditahan dalam operasi bermula jam 4.30 petang itu ialah seorang lelaki tempatan disyaki majikan," katanya kepada Sinar Harian, hari ini.

Beliau berkata, kesemua PATI yang ditahan adalah pekerja medan selera berkenaan yang bertugas sebagai tukang masak, pembuat air dan pelayan.

Katanya, mereka dikesan melakukan kesalahan menyalahgunakan pas, tinggal lebih masa selain gagal mengemukakan dokumen perjalanan yang sah.

"Dalam operasi itu, terdapat cubaan PATI yang hendak melarikan diri melalui pintu belakang, namun tindakan itu berjaya digagalkan dengan ketangkasan anggota operasi," katanya.

Katanya, operasi sebegini akan terus dilaksanakan dalam usaha membanteras PATI dan pihaknya memberi amaran tindakan penguatkuasaan operasi akan dipergiatkan tanpa mengira lokasi, sarang atau lubuk mereka berada.

Artikel Berkaitan: