Cuepacs mahu berunding nasib penjawat awam

Azih Muda
Azih Muda
A
A
A

KUALA LUMPUR - Kongres Kesatuan Pekerja-Pekerja Dalam Perkhidmatan Awam (Cuepacs) menyifatkan prosedur lantikan baharu dalam perkhidmatan awam sebagai langkah terburu-buru tanpa perbincangan menyeluruh.

Presiden Cuepacs, Datuk Azih Muda berkata, beliau berharap Ketua Pengarah Perkhidmatan Awam, Datuk Seri Borhan Dolah masih membuka pintu rundingan dengan pihaknya bagi menyoroti perincian berkenaan cadangan baharu berkenaan.

"Pengumuman baharu untuk mengecilkan jumlah penjawat awam itu satu satu langkah terburu-buru dan tindakan yang membelakangkan Cuepacs. Kami tidak diajak berunding secara komprehensif hanya sekadar perbincangan sampingan.

"Cuepacs nak tahu perincian lantikan kontrak yang dicadangkan, adakah tentera dan polis juga termasuk dalam jawatan kontrak? Kalau profesion ini lantikan kontrak, bagaimana jaminan apabila tamat perkhidmatan kelak?" katanya di sini hari ini.

Azih berkata, langkah baharu perkhidmatan awam itu memberi risiko kepada masa depan untuk generasi muda.

"Adakah ketetapan baharu ini akan turut meminda Perlembagaan Persekutuan berkenaan penjawat awam? Cuba fikir bagaimana generasi muda hendak dapatkan pembiayaan rumah, pendidikan anak-anak pelbagai insentif lain jika mereka hanya berjawatan kontrak.

"Mungkin langkah ini mampu menjimatkan wang kerajaan, tapi masalah sosial lain akan timbul. Saya harap pintu rundingan masih dibuka untuk timbang pro dan kontra untuk pengambilan penjawat awam tahun depan, jangan buat keputusan drastik tanpa kajian," katanya.

Artikel Berkaitan: