Piagam Muafakat Nasional Pas-UMNO bersifat politik: Mukhriz

Mukhriz
Mukhriz
A
A
A

ALOR SETAR - Piagam Muafakat Nasional yang akan dimeterai di antara Pas dengan UMNO pada 14 September ini hanya disifatkan sebagai bertujuan politik semata-mata.

Timbalan Presiden Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu), Datuk Seri Mukhriz Mahathir berkata, walaupun terdapat unsur kononnya penyatuan dua pihak tersebut yang menggunakan istilah Perpaduan Ummah, namun jangan lupa bahawa dalam kerajaan yang diterajui Pakatan Harapan (PH) juga mempunyai ramai kaum Melayu dan beragama Islam.

Menurutnya, beliau berpandangan piagam yang digembar-gemburkan itu adalah cubaan untuk mengalih perhatian rakyat dari masalah-masalah yang sedang dihadapi dua parti itu.

"Saya ingat tiada siapa yang menolak perpaduan sebenarnya. Kita kena ingat pada PRU14 (Pilihan Raya Umum ke-14), rakyat telah membuat keputusan menolak kerajaan terdahulu yang dipimpin oleh pemimpin yang rakus menyalahgunakan kuasa untuk kepentingan sendiri.

"Sekarang ini, kita boleh baca di akhbar dan melihat di kaca televisyen mengenai kes mahkamah yang sedang berjalan ini (melibatkan bekas pemimpin-pemimpin kerajaan)," katanya ketika diminta mengulas usaha Pas dan UMNO yang sedang giat bekerjasama dalam membentuk Piagam Muafakat Nasional.

Jelas Mukhriz, beliau tetap melihat piagam itu semata-mata untuk tujuan politik kerana tidak disebutkan langsung rasa bersalah dan menyesal di atas kesilapan Barisan Nasional (BN) sehingga rakyat menolak kerajaan lama.

"Tambah pula ada dalam kalangan mereka yang mendesak kerajaan PH hari ini membubarkan Dewan Rakyat.

"Jadi bagi saya (desak bubar Dewan Rakyat) adalah untuk menyelamatkan dan mengelakkan perbicaraan diteruskan maka terselamatlah Datuk Seri Najib Razak dan konco-konconya yang lain.

Artikel Berkaitan:

"Maka, jika rakyat ingat kembali kenapa menolak mereka dahulu, maka piagam ini tidak akan ke mana," katanya.