'ALLAH lebih menyayangi beliau'

No Image Caption
A
A
A

KUALA LUMPUR - Panglima Tentera Darat, Jeneral Datuk Seri Panglima Ahmad Hasbullah Mohd Nawawi menzahirkan ucapan takziah kepada keluarga Allahyarham Mejar Mohd Zahir Armaya, 36, dan berharap mereka tabah menghadapi suasana pilu itu.

Beliau menyifatkan pemergian Mohd Zahir yang juga merupakan anak kepada pelawak terkenal, AR Badul adalah satu kehilangan besar kepada Tentera Darat Malaysia (TDM).

“Semoga keluarga reda dan sabar dengan ujian ALLAH SWT dan menyifatkan Allahyarham meninggal dunia dalam tugas yang besar pahalanya (syahid).

“TDM sangat menyayangi Allahyarham, namun ALLAH lebih menyayangi beliau. TDM telah membuat segala urusan pengebumian jenazah dan urusan kebajikan kepada waris mangsa,” katanya menerusi kenyataan hari ini.

Ahmad Hasbullah berkata, TDM akan menubuhkan lembaga siasatan bagi mengenal pasti punca kejadian menyebabkan kematian.

Mohd Zahir disahkan meninggal dunia selepas tertembak ketika melakukan demonstrasi sempena pelancaran Divisyen Kelima Infantri Malaysia dan Briged ke-13 Infantri Malaysia di Kem Lok Kawi, Kota Kinabalu.

Mangsa yang cedera dibawa ke Hospital Queen Elizabeth, Kota Kinabalu, sebelum disahkan meninggal dunia.

Sebelum ini, satu rakaman video tular mengenai seorang pegawai tentera meninggal dunia selepas terkena tembakan pada program demonstrasi tersebut.

Difahamkan mangsa meninggal dunia selepas terkena tembakan daripada salah seorang peserta demonstrasi apabila peluru digunakan menembusi jaket kalis peluru yang dipakai mangsa.

ARTIKEL BERKAITAN:

Artikel Berkaitan:

Anak AR Badul maut terkena tembakan

Hormati keluarga arwah, usah buat spekulasi: Mat Sabu