Dia anak yang menyenangkan: AR Badul

Gambar kenangan arwah bersama isteri dan anak-anak.
Gambar kenangan arwah bersama isteri dan anak-anak.
A
A
A

SHAH ALAM - Pelawak veteran, AR Badul yang terkejut dengan kematian anaknya, Mejar Mohd Zahir Armaya, 36, menggambarkan Allayarham seorang anak yang mesra dan menyenangkan.

Kata Badul, beliau menerima berita kematian anak sulung daripada dua beradik hasil perkahwinan dengan isteri ketiganya yang berasal dari Sabah itu selepas dihubungi menantunya.

"Menantu saya telefon lebih kurang jam 11 pagi dan memaklumkan arwah meninggal dunia selepas terkena tembakan ketika melakukan demonstrasi.

"Memang terkejut jugalah, tapi saya reda. Kejadian pun dah berlaku," katanya ketika dihubungi Sinar Harian hari ini.

Berkongsi keperibadian Allahyarham, Badul berkata, beliau dan Mohd Zahir memiliki banyak persamaan dari segi sikap, cuma berlainan profesion sahaja.

"Allahyarham seorang yang happy go lucky, jenis suka bergurau, tak mudah ambil hati dan mesra.

"Dia anak yang menyenangkan dan kali terakhir kami jumpa pun kira-kira empat bulan lepas, sebelum arwah berlepas ke Indonesia bagi menjalani latihan di sana," jelasnya.

Tambah Badul, Allahyarham dijangka tiba di Tambun, Perak, kira-kira jam 9 malam ini dan dikebumikan di sana.

Artikel Berkaitan:

"Apa yang saya diberitahu, pihak tentera sudah menguruskan segalanya termasuk akan membawa pulang arwah ke Tambun untuk dikebumikan," katanya.

Mohd Zahir meninggalkan seorang balu dan tiga anak, dua daripadanya hasil perkahwinan terdahulu.

Dalam insiden jam 8.30 pagi tadi, Mohd Zahir tertembak ketika melakukan demonstrasi sempena pelancaran Divisyen Kelima Infantri Malaysia dan Briged ke-13 Infantri Malaysia di Kem Lok Kawi, Kota Kinabalu.

Mangsa yang cedera dibawa ke Hospital Queen Elizabeth, Kota Kinabalu, sebelum disahkan meninggal dunia.

ARTIKEL BERKAITAN:

Anak AR Badul maut terkena tembakan

Hormati keluarga arwah, usah buat spekulasi: Mat Sabu