Lelaki ditemukan lemas selepas bot dinaiki karam

No Image Caption
A
A
A

KOTA KINABALU - Seorang lelaki yang dilaporkan hilang selepas menaiki bot bersama bapanya untuk keluar menangkap ikan di Pantai Batu Gadung, Tamau, Kota Belud semalam, ditemukan lemas malam tadi.

Timbalan Pengarah Operasi, Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (APMM) Sabah, Kapten Maritim Asmawati Mohd Tujeri berkata, mayat Mohd Shahril Bashir, 28, dijumpai penduduk kampung yang membantu melakukan pencarian di pesisir Pantai Namamun, Rampaian Laut, lebih kurang lapan kilometer dari lokasi mangsa dilaporkan hilang.

“Pusat Penyelaras Mencari dan Menyelamat APMM telah menerima panggilan pada lebih kurang 7.50 malam memaklumkan bahawa mangsa telah dijumpai oleh penduduk kampung. Mangsa telah dibawa ke Hospital Kota Belud untuk pengecaman dan tindakan lanjut.

“Operasi mencari dan menyelamat (SAR) ditamatkan pukul 8.30 malam tadi,” katanya dalam kenyataan, di sini.

Dalam kejadian 6 pagi semalam, aktiviti dua beranak yang keluar menangkap ikan itu bertukar tragedi apabila Mohd Shahril dilaporkan hilang dikhuatiri lemas manakala bapanya terselamat selepas bot dinaiki mereka dipukul ombak besar pada jarak 100 meter dari Pantai Batu Gadung.

APMM Sabah mengaktifkan operasi SAR pada 8.30 pagi sejurus menerima maklumat mengenai kejadian itu kira-kira 8.05 pagi yang antara lain turut dibantu oleh Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia serta Angkatan Pertahanan Awam Malaysia.- Bernama

Artikel Berkaitan: