Isu poligami satukan hati penyokong PH dan pembangkang

No Image Caption
A
A
A

MERAK Jalanan menganggotai beberapa kumpulan WhatsApp yang menghimpunkan rakan-rakan lelaki pelbagai latar belakang kerjaya dan pegangan politik.

Sepanjang perhatian Merak Jalanan, jika ada isu membabitkan hal politik maka akan bercakaran ahli-ahli kumpulan yang berbeza kiblat politik dengan hujah masing-masing.

Semuanya tak mahu kalah waima pelbagai fakta dan petikan kata akan dikeluarkan seperti ada bank data khas untuk isu politik yang boleh ‘dilancarkan’ pada bila-bila masa apabila berhujah.

Ada tukang yang memulakan provokasi, ada yang memanaskan keadaan dan macam-macam lagi karenah. Pendek kata insan yang pada luaran kita kenali cukup berhemah akan menjadi garang apabila berhujah isu politik.

Namun ia tidak berlaku apabila ada yang mengetengahkan isu dan topik poligami. Penyokong kuat kerajaan dan pembangkang seperti sudah melupakan persengketaan masing-masing apabila memberi reaksi mengenai topik kahwin lebih daripada satu.

Boleh dikatakan keseluruhannya begitu ceria berbalas komen apabila melibatkan isteri dan madu.

Mereka kelihatan mempunyai visi yang sama iaitu menyokong poligami. Bahkan andai ditakdirkan isteri masing-masing rela bermadu mereka akan terlompat-lompat kegirangan.

Contohnya semalam apabila ada rakan yang berkongsi mengenai video perarakan pengantin poligami, reaksi daripada kedua-dua penyokong cukup menghiburkan.

Artikel Berkaitan:

Ada yang berdoa supaya suatu hari nanti dapat menyertai perarakan itu, ada yang berharap isteri mereka terbuka hati untuk mendapat payung emas bahkan ada yang berharap isteri mencarikan madu untuk suami.

Itulah yang berlaku dalam kumpulan yang Merak Jalanan anggotai dan kemeriahan berbincang soal poligami ini tidak berlaku dalam kumpulan WhatsApp yang dianggotai isteri masing-masing.