X

Kindly register in order to view this article
!

Wanita hamil antara tiga maut nahas empat kenderaan

Keadaan lori yang melanggar mangsa turut terjunam dalam parit. - Foto: IHSAN PEMBACA
A
A

TELUK INTAN - Seorang wanita hamil lapan bulan merupakan antara tiga wanita yang maut dalam kemalangan membabitkan dua buah kereta, sebuah pacuan empat roda dan sebuah lori muatan tanah di Kilometer 32, Jalan Langkap-Kampar, di sini pagi tadi.

Mangsa berusia 38 tahun yang juga penumpang kereta jenis Suzuki Swift disahkan meninggal dunia ketika menerima rawatan di Hospital Teluk Intan bersama kandungannya yang berusia 35 minggu.

Ketua Polis Daerah Hilir Perak, Asisten Komisioner Mohd Marzukhi Mohd Mokhtar berkata, dua lagi wanita yang meninggal dunia merupakan pemandu Swift yang merupakan pesara kakitangan awam berusia 62 tahun dan seorang lagi penumpang kereta berkenaan, seorang suri rumah berusia 19 tahun.

"Kemalangan tersebut berlaku sekitar jam 10.50 pagi melibatkan empat kenderaan iaitu dua sebuah kereta jenis Suzuki Swift dan Proton Saga, pacuan empat roda jenis Ford Ranger dan sebuah lori jenis Mercedes Benz.

"Siasatan awal mendapati lori dan Suzuki Swift dari arah Langkap menghala ke Kampar dan apabila tiba di lokasi kejadian lori berkenaan dipercayai melanggar belakang kereta tersebut yang hendak membelok ke kanan memasuki simpang Klinik Desa Tanjung Keramat.

Pasukan bomba dan orang ramai membantu mengeluarkan mangsa. (Kanan: Keadaan Suzuki Swift yang dinaiki mangsa. - Foto: IHSAN PEMBACA)
Pasukan bomba dan orang ramai membantu mengeluarkan mangsa. (Kanan: Keadaan Suzuki Swift yang dinaiki mangsa. - Foto: IHSAN PEMBACA)

"Akibat pelanggaran itu, kereta tersebut berpusing beberapa kali sebelum melanggar Ford Ranger dari arah bertentangan dan terhumban ke dalam parit sebelah jalan," katanya dalam satu kenyataan, di sini hari ini.

Tambahnya, lori berkenaan pula kemudian melanggar sebuah lagi kereta Proton Saga yang berada di belakang Ford Ranger sebelum terbabas ke dalam parit sebelah kanan jalan.

"Pemandu Suzuki Swift dipercayai tersepit dan meninggal dunia di lokasi kejadian manakala wanita mengandung dan suri rumah pula meninggal dunia di Hospital Teluk Intan.

"Turut cedera seorang bayi perempuan berusia lapan bulan yang merupakan penumpang Swift dan penumpang pacuan empat roda, seorang lelaki berusia 43 tahun.

"Pihak polis telah menahan pemandu lori berkenaan dan kes disiasat di bawah Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan (APJ) 1987," katanya.

ARTIKEL BERKAITAN: Seorang maut, tujuh cedera


Dapatkan laporan yang lebih eksklusif dan kritis, sila layari Sinar Premium
Artikel ini ialah ©️ 2018 Hakcipta Terpelihara Kumpulan Karangkraf. Sebarang salinan tanpa kebenaran akan dikenakan tindakan undang-undang

Newsletter

Berita Telus & Tulus hanya untuk anda setiap hari. Langgan Sekarang!