'Ini hadiah daripada ALLAH. Terima kasih ALLAH'

No Image Caption
A
A
A

SEMPENA tahun baharu 1 Muharram 1441 kelmarin, pelakon terkenal Ashraf Muslim menerima hadiah paling bermakna apabila berpeluang bertemu Imam Masjidil Haram, Sheikh Mahir Al Maquely di Makkah.

Menerusi perkongsian di Instagram miliknya, Ashraf berkata, kira-kira jam 12.15 tengah malam dia terjaga daripada tidur dan rasa ingin ke masjid membuak-buak.

Menurutnya, disebabkan masih terlalu awal untuk solat Subuh, dia hanya menunaikan solat tahajud dan sunat di masjid sebelum pulang ke hotel untuk tidur.

"Bila azan pertama, saya bangun dan kejutkan rakan sebilik untuk ambil wuduk dan bersiap sedia solat Subuh. Hati tergerak sekali lagi untuk solat Subuh di hadapan Kaabah.

"Tanpa fikir apa, terus redah orang orang ramai untuk dapatkan saf di bahagian depan," tulisnya.

No Image Caption

Dengan kuasa ALLAH, Dia menempatkan Ashraf di laluan imam untuk ke Kaabah.

Paling menyentuh hati pelakon itu apabila imam yang sangat dinanti-nantikan itu ialah individu yang diminatinya sejak dahulu lagi iaitu Sheikh Mahir Al Maquely.

Artikel Berkaitan:

"Selalu dengar suara dia dalam telefon bimbit, kereta dan Masjidil Haram. Tetapi tidak pernah bersua muka. Lagi 'best' dapat tengok sekali lagi masa lepas solat Subuh.

"Ya ALLAH bersihnya muka dia. Dah lah baca surah Quran yang tak pernah jemu didengar," tulisnya.

Ashraf turut menganggap peluang manis itu sebagai hadiah 1 Muharram dari ALLAH.

"Kadang-kadang nikmat yang ingin ALLAH beri pada kita, kita sendiri tidak tahu bila, bagaimana dan apa.

"Jadi dekatkan diri pada ALLAH dengan bersungguh-sungguh dan pasti nikmat itu akan kita kecapi walaupun nampak ringkas. Syukur dan terima kasih ALLAH," katanya yang turut berkongsi video pendek pengalamannya bertemu Sheikh Mahir Al Maquely.