Bekas Pengarah Urusan FTC didakwa esok

No Image Caption
A
A
A

KUALA LUMPUR - Bekas Pengarah Urusan Felcra Training & Consultancy Sdn Bhd, Rohaizat Ahmad akan dihadapkan ke Mahkamah Sesyen Kuala Lumpur esok bagi menghadapi beberapa pertuduhan oleh Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM).

Ketua Pesuruhjaya SPRM, Latheefa Koya melalui satu kenyataan berkata, Rohaizat akan menghadapi pelbagai pertuduhan mengikut Seksyen 23 Akta SPRM 2009.

"Dia telah diminta menghadiri jam 8.30 pagi esok 4 September 2019 dan telah ditangkap SPRM pada bulan September 2018.

"Butiran mengenai caj tersebut akan diketahui esok apabila dibacakan di mahkamah," katanya.

Pada 19 September tahun lalu, Rohaizat telah direman lima hari bagi membantu siasatan kes penyelewengan dana kerajaan dan pengagihan kontrak latihan bernilai RM4 juta.

Beliau yang berusia 54 tahun itu ditahan susulan serbuan dibuat SPRM ke 10 lokasi secara serentak pada 17 September 2018 termasuk di pejabat anak syarikat Felcra di Setapak di ibu negara serta lokasi-lokasi lain di Pantai Timur, Perak dan Lembah Klang.

SPRM dilaporkan menyita sejumlah dokumen yang berkaitan bagi membantu siasatan.

Artikel Berkaitan: