Tun M diberi sambutan permaidani merah di Kemboja

Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohamad dan isteri Tun Dr Siti Hasmah Mohd Ali diberi sambutan rasmi oleh Perdana Menteri Kemboja Hun Sen dan isteri Bun Rany Hun Sen di Peace Palace hari ini. - Foto Bernama
Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohamad dan isteri Tun Dr Siti Hasmah Mohd Ali diberi sambutan rasmi oleh Perdana Menteri Kemboja Hun Sen dan isteri Bun Rany Hun Sen di Peace Palace hari ini. - Foto Bernama
A
A
A

PHNOM PENH – Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad hari ini disambut dengan hamparan permaidani merah di Istana Damai Kemboja dalam rangka lawatan rasmi tiga hari ke negara itu.

Perdana Menteri Kemboja, Hun Sen dan isteri Bun Rany menyambut mesra Dr Mahathir dan isteri Tun Dr Siti Hasmah Mohd Ali sejurus tiba di istana pada 9 pagi waktu tempatan (10 pagi waktu Malaysia) sebelum lagu kebangsaan Malaysia Negaraku dan lagu kebangsaan Kemboja dialunkan.

Dr Mahathir kemudian memeriksa kawalan kehormatan terdiri daripada anggota Angkatan Tentera Kemboja.

Terdahulu sungguhpun hujan, ratusan pelajar serta penduduk tempatan berbaris di sepanjang laluan ke pintu masuk istana bagi menyambut ketibaan Dr Mahathir dan Dr Siti Hasmah.

Dr Mahathir dijangka mengadakan perbincangan dua hala dengan rakan sejawatannya Hun Sen termasuk membincangkan inisiatif bagi mengeratkan kerjasama Malaysia-Kemboja dan isu-isu serantau atau antarabangsa yang menyangkut kepentingan bersama.

Kedua-dua pemimpin menyaksikan upacara menandatangani Perjanjian Penghapusan Percukaian Dua Kali melibatkan dengan Cukai Pendapatan dan Pengelakan Cukai serta Memorandum Persefahaman berhubung kerjasama dalam bidang Pelancongan.

Dr Mahathir membuat kunjungan hormat terhadap Presiden Dewan Senat dan Pemangku Ketua Negara Kemboja, Samdech Vibol Sena Pheakdey Say Chhum dan menghadiri dialog dengan ahli perniagaan dan pelabur Malaysia, melibatkan 28 syarikat Malaysia yang beroperasi di Kemboja.

Pada sebelah malam Dr Mahathir dan isterinya akan menghadiri majlis makan malam rasmi yang dihoskan Hun Sen.

Artikel Berkaitan:

Pada tahun 2018, jumlah perdagangan Malaysia dengan Kemboja bernilai US$558.5 juta, meningkat 22.6 peratus daripada 2017.

Malaysia kini adalah sumber pelaburan langsung asing (FDI) ke-4 terbesar di Kemboja, dengan jumlah US$ 2.73 bilion. - Bernama