Tiada masalah Zakir hadir program di Melaka: Muhyiddin

Muhyiddin (tengah) pada sidang akhbar selepas menghadiri Perhimpunan Bulanan Kementerian Dalam Negeri di Putrajaya tadi.
Muhyiddin (tengah) pada sidang akhbar selepas menghadiri Perhimpunan Bulanan Kementerian Dalam Negeri di Putrajaya tadi.
A
A
A

PUTRAJAYA - Pendakwah antarabangsa, Dr Zakir Naik tidak melakukan kesalahan sekiranya menghadiri program keagamaan di Melaka kerana beliau bukannya menyampaikan ceramah di sana.

Menteri Dalam Negeri, Tan Sri Muhyiddin Yassin berkata, kerajaan tidak akan sepenuhnya mengawal pergerakan pendakwah tersebut dan melarangnya menyertai mana-mana program.

“Saya dimaklumkan kehadiran Zakir Naik ke Melaka untuk menyertai solat. Dia tidak berucap di hadapan jemaah.

“Ketua Polis Melaka (Datuk Raja Shahrom Raja Abdullah) beritahu, atas dasar berkenaan beliau membenarkan Zakir Naik mengambil bahagian dalam program itu,” katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang media selepas menghadiri Perhimpunan Bulanan Kementerian Dalam Negeri di sini hari ini.

Menurutnya, tiada sesiapa boleh sekat dan halang beliau sekiranya Zakir mahu bersolat atau menghadiri majlis.

“Kalau nak solat, nak hadiri majlis, saya fikir sesiapa pun tak boleh sekat dan halang. Itu maklumat yang saya dapat, sebab itu beliau dibenarkan untuk hadir,” katanya.

Semalam, Polis Melaka menegaskan tidak mempunyai halangan terhadap program Malam Islam Bersatu yang bakal diadakan di Masjid Cina Melaka di Krubong pada 7 September ini yang turut dihadiri Zakir.

Artikel Berkaitan:

Ketuanya, Raja Shahrom berkata, program tersebut hanya melibatkan solat sunat dan tidak melibatkan ceramah oleh pendakwah dari India itu.

"Setakat ini kita tiada halangan, sebab program itu tidak melibatkan sebarang ceramah. Kalau ceramah memang tidak dibenarkan.

"Kalau sekadar untuk program solat sunat (hajat) kita tiada halangan," katanya ketika dihubungi semalam.

Sebelum itu, Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Ayer Keroh, Kerk Chee Yee mempertikaikan penganjuran program berkenaan yang turut mengundang pendakwah dari India itu.

Beliau juga menggesa semua pihak di Melaka mengikut semangat dan keputusan Ketua Menteri untuk mengharamkan pendakwah berkenaan daripada berceramah di negeri berkenaan.

Chee Yee yang juga Exco Komunikasi, Multimedia, NGO, Pembangunan Belia dan Sukan Melaka berkata, walaupun Zakir tidak berceramah pada majlis itu namun beliau ialah individu yang menimbulkan kontroversi antara masyarakat Malaysia.