PM Britain, pemimpin pembangkang 'berperang' isu Brexit

Corbyn (kiri) menentang sekeras-kerasnya Brexit tanpa perjanjian seperti dicadangkan Johnson.
Corbyn (kiri) menentang sekeras-kerasnya Brexit tanpa perjanjian seperti dicadangkan Johnson.
A
A
A

LONDON - Parti pembangkang utama Britain, Parti Buruh berikrar akan melakukan apa sahaja untuk menghalang langkah Brexit tanpa perjanjian selepas Parlimen kembali bersidang pada esok.

“Kabinet bayangan akan bermesyuarat untuk memuktamadkan rancangan kami bagi menghalang perkara itu. Tindakan keluar daripada Kesatuan Eropah (EU) tanpa perjanjian memburukkan lagi kesan yang dilakukan parti pemerintah, Parti Konservatif terhadap industri selama sembilan tahun,” kata pemimpinnya, Jeremy Corbyn hari ini.

Parlimen menolak kemungkinan Britain meninggalkan EU tanpa perjanjian pada 31 Oktober depan seperti yang dirancang Perdana Menteri, Boris Johnson sebelum ini.

Johnson mendakwa usahanya untuk mencapai perjanjian baharu Brexit dengan EU mungkin akan terhalang dengan sebarang usaha dibuat Parlimen untuk menyekat Brexit tanpa perjanjian.

Bagi menjayakan misi itu, Johnson bertindak menggantung Parlimen kira-kira sebulan sebelum tarikh akhir Brexit.

Corbyn menyifatkan langkah penggantungan Parlimen itu sebagai ‘serangan terhadap demokrasi’.

Johnson menerusi Sunday Times kelmarin memberitahu ahli Parlimen diberi pilihan sama ada untuk berpihak kepada Corbyn yang didakwa mahu melihat negara itu menjadi huru-hara atau bersama mereka yang mahu meneruskan Brexit walaupun tanpa perjanjian.

Kerajaan mendakwa Corbyn hanya menawarkan lebih banyak penangguhan dan ketidakpastian.

Artikel Berkaitan:

“Hanya Johnson dan Parti Konservatif dapat memberikan kepimpinan yang diperlukan Britain dengan meninggalkan EU seperti dijadualkan dalam apa jua keadaan bagi merealisasikan suara rakyat negara ini,” kata Timbalan Pengerusi parti pemerintah, Paul Scully.

Sementara itu, ahli Konservatif turut diberi amaran bakal disingkirkan daripada parti jika mereka cuba menghalang Brexit tanpa perjanjian.

“Mana-mana ahli Parti Konservatif yang gagal mengundi berpihak kepada kerajaan akan tersingkir dan menjadi calon bebas di Parlimen,” lapor Sky News memetik kenyataan sumber pejabat Tory. - Agensi