Tragedi konvoi motosikal

No Image Caption
A
A
A

REMBAU - Konvoi sekumpulan penunggang motosikal bertukar tragedi apabila dua daripada mereka terlibat dalam nahas menyebabkan seorang maut di Kilometer 232.1 Lebuhraya Utara Selatan (PLUS) berhampiran Hentian Rehat dan Rawat Pedas-Linggi, di sini hari ini.

Dalam kejadian jam 12 tengah hari itu, mangsa, Hanif Shahibudin, 21, meninggal dunia di tempat kejadian manakala rakannya, Mohammad Aiman Hakim Mohd Aznan, 20, patah tangan kanan.

Ketua Polis Rembau, Deputi Superintenden Anuar Bakri Abdul Salam berkata, ketika kejadian mangsa berkonvoi bersama lapan lagi rakan dari Kuala Lumpur menuju ke Johor.

"Namun sejurus sampai di tempat kejadian, motosikal jenis Yamaha 135 LC ditunggang Hanif hilang kawalan lalu menyebabkannya terjatuh.

"Muhammad Aiman yang menunggang motosikal jenis Honda yang mengekori rapat dari belakang tidak sempat mengelak lalu melanggar Hanif sebelum dia turut sama terjatuh," katanya.

Menurutnya, akibat kejadian itu, Hanif meninggal dunia di lokasi dan mayatnya dihantar ke Hospital Daerah Tampin untuk tindakan lanjut.

Katanya, kes disiasat mengikut Seksyen 41(1)Akta Pengangkutan Jalan 1987.

Artikel Berkaitan: