Bergaduh: Lima lelaki ditahan

PDRM
PDRM
A
A
A

GEORGETOWN - Polis menahan lima lelaki yang terlibat dalam pergaduhan di sebuah premis kedai makanan di Gat Lebuh Macallum, di sini awal pagi semalam.

Ketua Polis Daerah Timur Laut, Asisten Komisoner, Che Zaimani Che Awang berkata, semua lelaki berusia antara 20 hingga 30-an itu ditahan oleh Bahagian Anti Maksiat, Perjudian dan Kongsi Gelap (D7) Ibu Pejabat Polis Daerah Timur Laut pada pukul 1.30 pagi di lokasi kejadian.

"Pihak polis menerima laporan daripada orang ramai memaklumkan berlaku pergaduhan antara dua kumpulan di kawasan kedai makanan berkenaan sebelum sepasukan polis ke lokasi dan berjaya menahan mereka. Punca sebenar mereka bergaduh masih dalam siasatan," katanya di sini hari ini.

Beliau berkata, dua daripada lima lelaki itu mempunyai rekod jenayah lampau dan ujian air kencing ke atas seorang daripadanya didapati positif dadah.

Che Zaimani berkata, lima lelaki itu kini direman untuk siasatan lanjut dan kes berkenaan disiasat menurut Seksyen 148 Kanun Keseksaan kerana merusuh.

Dalam perkembangan lain, Ketua Polis Daerah Seberang Perai Utara (SPU), Asisten Komisoner Noorzainy Mohd Noor berkata, polis menahan tujuh remaja lelaki berusia antara 17 hingga 18 tahun kerana berlumba haram di Lebuhraya Lingkaran Luar Butterworth (BORR), di sini awal pagi ini.

Katanya, dalam Operasi Bersepadu Khas Skuad 42 yang bermula pukul 10 malam tadi dan tamat pukul 4 pagi ini, polis menahan tujuh lelaki itu termasuk dua pelajar kolej dan yang lain bekerja kilang serta bekerja sendiri.

"Mereka tidak serik berlumba haram di BORR itu sedangkan boleh dikatakan setiap malam polis menjalankan operasi di situ malah ada yang ditahan itu pernah ditangkap kerana kesalahan yang sama iaitu lumba haram," katanya.

Artikel Berkaitan: