Sewa lot Kulim Mall diturunkan

Azman tengah bersama sebahagian penerima sumbangan beg sekolah di Taman Kangkong hari ini.
Azman tengah bersama sebahagian penerima sumbangan beg sekolah di Taman Kangkong hari ini.
A
A
A

KULIM- Bayaran sewa bagi seunit lot perniagaan di Kedai Mall Kulim yang sebelum ini membebankan penyewa, dikurangkan.

Exco Pertanian dan Sumber Tani, Pengangkutan dan Industri Asas Tani, Azman Nasrudin berkata, bayaran sewa lot-lot perniagaan kini RM1,000 berbanding RM2,000 ditetapkan Keda sebelum ini.

Menurutnya, penurunan harga itu hasil perbincangan bersama pengurusan Keda sekitar Jun dan Julai lalu.

"Sebelum ini harga sewaan ditawarkan agak tinggi, jadi saya pernah berbincang bersama Keda sebelum ini untuk dikurangkan.

"Alhamdulillah, Keda telah menurunkan harga sewa berkenaan sehingga 50 peratus," katanya kepada Sinar Harian selepas merasmikan program Jualan Murah pempena pembukaan Keda Mall, Kulim, di sini hari ini.

Beliau berkata, daripada 22 unit lot ditawarkan, 16 daripadanya mempunyai penyewa.

"Jadi masih ada kekosongan untuk disewa. Pembukaan Keda Mall ini akan dilancar pada awal Mac depan.

"Jadi pasar raya ekonomi rakyat ini akan menarik lebih ramai pelanggan untuk datang ke sini. Perlu dirancang lebih banyak program supaya tempat ini lebih meriah," katanya.

Artikel Berkaitan:

Menurutnya, pembinaan lot-lot perniagaan di kawasan strategik seperti dilakukan Keda Mall memberi peluang kepada usahawan tempatan memperkenal, mempromosi dan menjual produk atau perkhidmatan ditawarkan mereka.

Beliau berkata, Keda memainkan peranan penting dalam membantu kerajaan Kedah membangunkan ekonomi di kawasan luar bandar.

"Selalunya apabila menyebut Keda, kita akan kaitkan dengan pembinaan rumah, sama ada bina baru atau baik pulih, pertanian dan penternakan.

"Tetapi pada hari ini saya lihat peranan Keda semakin luas. Keda telah menganjurkan pelbagai program latihan, seminar serta bengkel melibatkan usahawan," katanya.

Azman berkata, pembangunan keusahawanan merupakan antara pelaburan terpenting bagi pembangunan sesebuah negara.

"Ia merupakan teras kepada inovasi dan transformasi ke arah era kreatif serta ekonomi berpendapatan tinggi," katanya.

Dalam pada itu beliau yang juga Adun Lunas berkata, 500 murid sekolah dalam Dun Lunas menerima sumbangan beg sekolah.

"Pada hari ini kita menghimpunkan 500 penerima terdiri dari kampung dan taman. Antaranya Kampung Naga Lilit, Sungai Seluang, Batu 8, Taman Kangkong dan lain-lain," katanya.