Padah samun penjual ais krim

Kenderaan yang dinaiki suspek.
Kenderaan yang dinaiki suspek.
A
A
A

BATU PAHAT - Tindakan tiga lelaki dan seorang wanita yang menyamun seorang penjual ais krim warganegara Pakistan di Jalan Lam Lee, Yong Peng, di sini, mengundang padah selepas ditahan polis daerah ini, petang tadi.

Timbalan Ketua Polis Daerah Batu Pahat, Superintendan Razali Mohd Tahir berkata, dalam kejadian kira-kira jam 1.30 petang itu, kesemua suspek kemudian cuba melarikan diri menggunakan sebuah kereta ke arah Segamat selepas menyamun penjual ais krim tersebut.

"Bagaimanapun, sewaktu suspek sampai ke Chaah, kesemua mereka cuba ditahan oleh anggota polis Unit Kereta Peronda (MPV) Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Segamat, namun berjaya meloloskan diri dengan berpatah balik ke arah Yong Peng.

"Apabila sampai di Jalan Labis-Yong Peng, Anggota Ronda Cegah Jenayah (RCJ) dari Balai Polis Yong Peng terus mengejar suspek sehingga di Jalan Bindu-Tongkang Pechah dan suspek kemudiannya bertindak melanggar kenderaan awam dan kenderaan polis yang mengejar mereka," katanya.

Salah seorang suspek yang cedera sewaktu cubaan melarikan diri.
Salah seorang suspek yang cedera sewaktu cubaan melarikan diri.

Menurutnya, akibat pelanggaran berkenaan, kenderaan yang dinaiki suspek berumur di antara 21 dan 36 tahun itu remuk dan tidak dapat bergerak sekaligus mengakibatkan kesemuanya berjaya ditahan.

Katanya, hasil tangkapan kesemua suspek, polis berjaya merampas sepucuk pistol tiruan dan wang tunai sebanyak RM300 dan kesemua suspek kemudian dibawa ke Hospital Sultanah Nora Ismail (HSNI) Batu Pahat untuk rawatan lanjut kerana mengalami kecederaan semasa kemalangan.

Artikel Berkaitan: