Warga emas maut disengat hampir 200 ekor tebuan

Jenazah dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam Kesedar Putra, jam 8 malam, semalam.
Jenazah dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam Kesedar Putra, jam 8 malam, semalam.
A
A
A

GUA MUSANG - 'Saya tak sangka, dia suruh kami bawa pulang cucunya bersekolah di Gua Musang jadi tanda pemergiannya," kata anak kepada seorang warga emas yang maut disengat hampir 200 ekor tebuan di kebunnya Selasa lalu.

Mohd Ghazali Awang, 67, yang menetap di perumahan Jabatan Perumahan Negara (JPN), di sini diserang tebuan ketika sedang membersihkan kawasan kebunnya.

Menurut anaknya, Mohd Ikhwan Mohd Ghazali, 33, pada hari kejadian, dia bersama arwah bapa dan adik angkatnya, Nor Arwadi, 27, pergi ke kebun secara berasingan menggunakan dua buah kereta.

"Arwah menaiki kereta sendiri dan tiba di kebun, dia membersihkan kebun dengan jengkaut. Ketika kejadian lebih kurang jam 10 pagi, dia diserang sekumpulan tebuan dan terus turun dari jengkaut menuju ke kereta yang diletakkan di atas bukit.

"Dia terus memandu kereta dan sampai di Kampung Panggung Lalat, dia memberhentikan kereta kerana rasa mahu pitam. Dia menelefon saya yang mana ketika itu saya dan Arwadi sudah dalam perjalanan pulang.

"Saya terus ke sana dan memandu keretanya menuju ke Hospital Gua Musang (HGM). Sepanjang tiga hari di sana, dia boleh bercakap cuma kadang-kadang mengadu sakit," katanya.

Allahyarham meninggal dunia di Hospital Kuala Krai (HKK) pada 12.45 tengah hari semalam, selepas dihantar ke hospital berkenaan Khamis lalu.

Jenazah dikebumikan Tanah Perkuburan Islam Kesedar Putra pada 8 jam malam semalam.

Artikel Berkaitan:

Isteri Ikhwan, Nur Amirah Ismail, 34, berkata, anak-anaknya seramai tiga orang amat rapat dengan arwah dan arwah beria-ria menyuruhnya menukarkan persekolahan anak ke Gua Musang.

"Kami menukar sekolah anak pada April lalu selepas bapa beria-ria minta anak-anak tinggal dengannya. Kami menetap di Kedah kerana suami bekerja di sana.

"Dia juga menunjukkan tanda-tanda apabila membawa kami adik beradik ke kebun sebelum ini dan meminta untuk meneruskan kerja-kerja kebunnya jika dia tiada nanti," katanya.