'Pas-UMNO berupaya bentuk ekonomi terbesar'

Nik Muhammad Zawawi (tujuh dari kanan) bergambar kenangan bersama pimpinan Pas Baling dalam majlis petang semalam.
Nik Muhammad Zawawi (tujuh dari kanan) bergambar kenangan bersama pimpinan Pas Baling dalam majlis petang semalam.
A
A
A

BALING - Penyatuan Pas dan UMNO dilihat berupaya membentuk kuasa ekonomi terbesar di negara ini.

Ketua Dewan Ulama Pas, Datuk Dr Nik Muhammad Zawawi Nik Salleh berkata, perkara itu mampu direalisasikan sekiranya pembangkang menguasai negara selepas ini.

Menurutnya, kekuatan ekonomi seharusnya didominasi oleh bumiputera bukan sahaja di negara ini, malah di mana-mana negara sekali pun.

"Kita harapkan kepada semua rakyat di negara kita yang ingin melihat Malaysia ini sebagai sebuah negara yang baik dalam semua aspek iaitu ekonomi, pendidikan, politik dan seumpamanya memberikan sokongan kepada usaha gabungan Pas dan UMNO.

"Insya-ALLAH, apabila Pas dan UMNO bersatu, tiada lagi permusuhan membabitkan bangsa sendiri seperti mana terjadi sebelum ini," katanya kepada Sinar Harian selepas selesai Majlis Hi-Tea Ambang Merdeka malam tadi.

Mengulas Himpunan Perpaduan Ummah bagi menandatangani Piagam Persefahaman antara Pas dan UMNO di PWTC pada 13 dan 14 September ini, beliau menyifatkan ia sangat bersejarah untuk negara ini.

Menurutnya, sejak negara mencapai kemerdekaan hingga kini, belum wujud sebarang perjanjian yang mampu menyatukan majoriti masyarakat Melayu di negara ini.

"Kali ini, kita mampu menyatukan masyarakat dari Pas dan UMNO. Walaupun kita sebut Pas dan UMNO tetapi alhamdulillah, sambutan ini menjangkau di luar daripada Pas dan UMNO.

Artikel Berkaitan:

"Pegawai-pegawai kerajaan yang natural, semua memberikan sokongan yang sangat besar. NGO-NGO (badan bukan kerajaan) yang ada dalam negara kita memberikan sokongan kepada usaha penyatuan ini," katanya.

Nik Muhammad Zawawi berkata, mutakhir ini, parti-parti di Sabah dan Sarawak juga memberikan sokongan kepada barisan pembangkang.

"Alhamdulillah, paling kita rasa bangga apabila MIC dan MCA bersama-sama kita.

"Baru-baru ini sangat bersejarah apabila pihak MIC menjemput saya untuk hadir pada Perhimpunan Agung MIC di PWTC," katanya.

Beliau berkata, sekiranya Pas dan UMNO berjaya merealisasikan kerajaan baharu kelak, kedua-duanya sudah tentu akan mengambil iktibar terhadap sejarah pertembungan Pas dan UMNO, selain tidak akan mengulangi kelemahan urus tadbir negara dilakukan Pakatan Harapan.