Bahamas, Florida dalam laluan Taufan Dorian

Penduduk Miami-Dade di West Miami mengisi beg pasir sebagai persediaan menghadapi Taufan Dorian. - FOTO AFP
Penduduk Miami-Dade di West Miami mengisi beg pasir sebagai persediaan menghadapi Taufan Dorian. - FOTO AFP
A
A
A

MIAMI - Pusat Taufan Negara (NHC) di Miami berkata Taufan Dorian yang dijangka membadai Bahamas esok dan Florida pada lewat Isnin atau Selasa depan kini merupakan taufan Kategori 4 yang amat bahaya.

Menurut NHC, Taufan Dorian kini mencecah kelajuan angin hampir 215 kilometer sejam. Bahagian barat laut Bahamas diberi peringatan agar bersedia menghadapi ribut mengancam nyawa yang mampu menaikkan paras air sehingga tiga ke empat meter di atas paras normal pasang surut.

Perdana Menteri Bahamas, Hubert Minnis memberi peringatan kepada penduduk yang berada dalam laluan taufan berbahaya itu agar berpindah.

"Gelombang besar beserta ombak yang memusnahkan akan menghampiri selain hujan lebat yang boleh menyebabkan banjir kilat.

"Penduduk yang enggan berpindah meletakkan diri mereka dalam bahaya. Jangan bahayakan nyawa sendiri dan insan tersayang," tegas Minnis dalam satu sidang media.

Kediaman penduduk di Coral Gables, South Miami dipasang pelindung tingkap susulan Taufan Dorian yang dijangka membadai Florida awal minggu depan. - FOTO AFP
Kediaman penduduk di Coral Gables, South Miami dipasang pelindung tingkap susulan Taufan Dorian yang dijangka membadai Florida awal minggu depan. - FOTO AFP

Sementara itu, berikutan laluan taufan yang masih tidak menentu, penduduk Florida belum lagi menerima arahan berpindah namun kebanyakan penduduk telah membeli barangan keperluan termasuk makanan dan air sebagai bekalan serta membuat persediaan sekiranya perlu meninggalkan kediaman masing-masing.

Terdahulu, Gabenor Florida mengeluarkan arahan darurat di kesemua 67 daerah di negeri itu dan menggesa jutaan penduduknya bersedia menghadapi bencana besar.

Artikel Berkaitan:

"Kita menjangkakan banjir besar, oleh itu penduduk digesa mempunyai bekalan secukupnya untuk sekurang-kurangnya tujuh hari.

"Sekiranya anda berada dalam zon pemindahan dan diarah berpindah, sila patuhi arahan," kata DeSantis.

Dalam pada itu, Pasukan Pengawal Florida berkata, kira-kira 2,000 anggota telah dikerah setakat ini dan tambahan 2,000 anggota akan digerakkan hari ini. - AFP

ARTIKEL BERKAITAN: Penduduk Florida beli bekalan hadapi Taufan Dorian