[DIKEMASKINI] Henti provokasi kebencian agama

Hussamuddin
Hussamuddin
A
A
A

SHAH ALAM - [DIKEMASKINI] Akhbar vernakular dan portal Malaysiakini digesa tidak ‘memanaskan’ isu yang boleh mencetuskan ketegangan antara kaum.

Pengerusi Kumpulan Media Karangkraf, Datuk Dr Hussamuddin Yaacub berkata, sebaliknya media perlu berperanan merapatkan hubungan kaum di negara ini.

“Kita kena lihat balik, mungkin kebencian atau jurang antara kaum ini berpunca daripada media sendiri. Seruan saya kepada media-media ini agar lebih bertanggungjawab dan jangan memecah-belahkan hubungan antara kaum.

“Hentikan provokasi kebencian kaum dan agama. Media perlu sedar dan berusaha untuk merapatkan jurang kaum,” katanya di sini hari ini.

Beliau berkata demikian susulan laporan akhbar-akhbar berbahasa Cina dan Malaysiakini mengenai isu kempen #QuranHour di sekolah-sekolah vernakular.

Laporan Malaysiakini.
Laporan Malaysiakini.

Menurut laporan akhbar berbahasa Cina kelmarin, guru besar sebuah sekolah Cina di Melaka dikatakan terperanjat selepas menerima surat pekeliling daripada Jabatan Pendidikan berkenaan pelaksanaan kempen #QuranHour.

Timbalan Menteri Pendidikan, Teo Nie Ching dalam maklum balasnya kepada Malaysiakini berhubung laporan itu berkata, murid bukan Muslim dikecualikan daripada kempen #QuranHour.

Artikel Berkaitan:

Hussamuddin yang juga Pengasas Yayasan Warisan Ummah Ikhlas berkata, isu kempen #QuranHour di sekolah vernakular tidak sepatutnya dilaporkan langsung atau diperbesarkan.

“Program #QuranHour dibuat untuk orang Islam. Di sekolah Cina pun ada orang Islam, sebab itu Jabatan Pendidikan buat pekeliling dan terpulang kepada budi bicara sekolah sama ada hendak anjurkan #QuranHour atau tidak.

“Tak perlulah pergi ke media untuk panaskan isu. Tak faham tanya pejabat pendidikan. Tak perlu dipanaskan perkara ini sehingga menjadi isu nasional lebih-lebih lagi ketika negara berdepan pelbagai isu perkauman.

“Teguran saya kepada akhbar vernakular dan Malaysiakini, cukup-cukuplah mengapi-apikan keraguan terhadap orang Melayu Islam dan kebencian terhadap apa saja inisiatif yang dibuat untuk merapatkan rakyat negara kita,” katanya.