YB Norhizam hulur bantuan yuran persekolahan

Norhizam bersama kalangan kanak-kanak penerima sumbangan sempena Program Kembali ke Sekolah Dun Pengkalan Batu Sesi 2019 di Dewan Japerun Pengkalan Batu.
Norhizam bersama kalangan kanak-kanak penerima sumbangan sempena Program Kembali ke Sekolah Dun Pengkalan Batu Sesi 2019 di Dewan Japerun Pengkalan Batu.
A
A
A

MELAKA - Jawatankuasa Penyelaras Dun (Japerun) Pengkalan Batu mengambil inisiatif meringankan beban kalangan ibu bapa menjelang sesi persekolahan 2019 Rabu ini, dengan memberikan sumbangan berbentuk wang tunai kepada seramai 204 orang kanak-kanak sekolah rendah.

Adun Pengkalan Batu, Norhizam Hassan Baktee berkata, usaha berkenaan sebagai satu kelainan berbanding kebiasaan apabila kebanyakan sumbangan berbentuk barangan kelengkapan persekolahan.

Menurutnya, sejumlah RM18,360 peruntukan dikeluarkan Japerun berkenaan untuk diagihkan kepada 204 murid sekolah rendah dengan sumbangan RM90 setiap seorang.

"Hari ini dengan keadaan ekonomi yang kurang memberangsangkan malah kos sara hidup yang semakin meningkat kami di Dun Pengkalan Batu mengambil inisiatif untuk membantu meringankan beban ibu bapa dalam kawasan Dun Pengkalan Batu.

"Harapan saya dengan sedikit bantuan ini setidak-tidaknya dapatlah mereka menjelaskan yuran persekolahan anak-anak," katanya pada selepas menyampaikan sumbangan berkenaan di Dewan Kompleks Japerun Pengkalan Batu di sini.

Norhizam berkata, buat masa ini Program Kembali ke Sekolah Dun Pengkalan Batu hanya menumpukan terhadap kanak-kanak di sekolah rendah dalam kawasan berkenaan dan sumbangan akan diperluaskan lagi tahun hadapan.

"Akan datang kita akan giatkan lagi usaha ini dengan meluaskan bantuan untuk pelajar di sekolah menengah pula.

"Kesemua mereka daripada kalangan anak-anak kepada ibu bapa yang berpendapatan rendah dalam Dun Pengkalan Batu," katanya.

Artikel Berkaitan: