Caj perkhidmatan penumpang diumum beberapa minggu lagi

Gambar hiasan
Gambar hiasan
A
A
A

KUALA LUMPUR - Suruhanjaya Penerbangan Malaysia (Mavcom) akan mengumumkan kadar baharu caj perkhidmatan penumpang (PSC) dalam beberapa minggu lagi sebelum dikuat kuasa pada Januari 2020.

Dalam satu kenyataan hari ini, suruhanjaya itu menjelaskan kajian metodologi yang komprehensif dan caj perkhidmatan penerbangan, termasuk PSC ketika ini di peringkat akhir untuk disiapkan.

Menurut suruhanjaya itu, ia akan memperkenalkan Rangka Kerja Asas Aset Dikawal (Rangka Kerja RAB) bagi menetapkan caj lapangan terbang.

“Dengan berbuat demikian, suruhanjaya menjalankan kajian komprehensif dan bekerjasama rapat dengan semua kementerian berkaitan dan pihak berkepentingan dalam industri termasuk syarikat penerbangan, pengendali lapangan terbang serta komuniti pelaburan sejak 2017.

“Sebagai hasil daripada Rangka Kerja RAB, suruhanjaya itu akan melaksanakan perbezaan caj bergantung kepada saiz, tahap kemudahan dan perkhidmatan yang disediakan di lapangan terbang,” menurut Mavcom.

Menurutnya, metodologi berkenaan akan mengelakkan kerajaan daripada memberikan subsidi ke atas operasi lapangan terbang seperti dilaksanakan pada masa ini.

Metodologi RAB adalah mekanisme berasaskan kos yang diiktiraf di peringkat global dan menyediakan model pembiayaan mampan bagi lapangan terbang, selain mengambil kira kesan ke atas pengguna lapangan terbang. - Bernama

Artikel Berkaitan: